18 September 2009

:: Selamat Balik Kampung

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Alhamdulillah sedar atau tidak kita sudah berada di akhir Ramadhan tahun ini. Kemanisan Ramadhan yang kita kecapi tahun ini sungguh tidak dapat dinilaikan. Allah sahaja yang berhak menilainya. Sehingga ada yang hakikatnya berpuasa tetapi tidak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Moga-moga kita digolongkan bersama-sama dengan golongan yang beruntung. InshaAllah.
.
Malam ini InshaAllah saya bersama rakan-rakan mahasiswa USM yang lain akan berkonvoi pulang ke negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Kelantan. Di sini apabila disebutkan sahaja berasal dari Kelantan maka terpancar di benak fikiran ramai kenalan saya betapa indahnya negeri Kelantan. Negeri penuh dengan Majoriti rakyatnya beragama ISLAM. Ramai Alim dan Ulamak yang berasal dari negeri ini. Tidak lupa juga cerdik pandai, hartawan juga berbenihkan Kelantan. Saya turut merasa bangga dan insaf dengan rezeki yang dikurniakan ini. Darah Kelantan juga mengalir dalam diri saya.
.
Pengalaman di Luar Kelantan ini amatlah cukup mendewasakan saya. Pengalaman mencari tiket bas raya pasti tidak akan saya lupa. Malam ini difahamkan akibat terlalu ramai pelajar, dibuat dua peringkat 5 buah bas akan bertolak jam 8malam dan selebihnya jam 10 malam. Suasana amat meriah saya gambarkan. Kegirangan menyambut Syawal amat terasa disini. Di bilik saya ditemankan oleh peti suara yang mendendangkan lagu-lagu raya sebagai mengubat rindu kampung halaman. Difahamkan semua adik-adik sudah sampai di rumah, hanya menantikan saya sahaja untuk melengkapkan bilangan anggota keluarga. Sebak juga rasa terharu.
.
Doakan keselamatan saya dan rakan mahasiswa sekalian yang pulang ke kampung dan akan kembali setelah seminggu bercuti. Dalam kegirangan ini jangan kita lupakan RAMADHAN yang masih lagi berbaki. Manfaatkanlah.
.
"Balik kampung-satu keperluan"
:: Pengalaman tidak boleh dijual beli

11 September 2009

:: "Sweeping Malaysia" dari sudut Mahasiswa Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Indonesia oh Indonesia, negara yang majoritinya umat Islam bahkan teramai di dunia. Dalam suasana keberkatan di Bulan Ramadhan ini kita dikejutkan sekali lagi dengan polimik politik angkara agenda Rejim Zionis iaitu Yahudi yang mahu melihat umat Islam sekali lagi berpecah belah, bergolak, bergaduh sesama sendiri. Buih-buih ini yang banyak bertaburan di permukaan namun tidak ada gunanya. Sedar atau tidak agenda Yahudi ini berterusan sampai kebila-bila sehinggalah mereka mahu semua umat Islam memeluk agama mereka.
.
Memetik peristiwa yang berlaku di negara serumpun kita iaitu Indonesia. Baru-baru ini dikejutkan kita dengan tersiarnya berita mengenai betapa JAHAT dan ZALIMnya Malaysia kerana mencuri adat kebudayaan Indonesia. Tarian Pandet yang dimaksudkan. Bagaimana tuduhan dilemparkan hanya berlandaskan klip tayangan promosi Malaysia oleh National Geographic yang hanya beberapa minit. Lalu dinominasikan oleh media. Sensasinya bukan kepalang, berapi kesannya, mengungkit semangat nasionalis rakyat Indonesia mempertahankannya. Lebih teruk diadakan sekatan jalan raya kononnya sebagai tindak balas mengenai "kecurian" itu. Berkumpul kumpulan yang kononnya mahu bersiapsiaga menyerang Malaysia. Keadaan jadi hingar-bingar dek kerana tarian dan irama Terang Bulan. Begitulah kisah dan hebatnya peranan media yang berjaya mencetuskan satu polemik yang hebat mercerminkan kelemahan Umat Islam. Umat Islam amat mudah berpecah belah, fitnah mengfitnah jadi budaya. Sampai bila mahu kita teruskan.
.
Bagi saya, saya tidak hairan demontrasi di Indonesia ini kerana saya telah dihidangkan dengan demonstrasi dan semangat Nasionalis yang mengagumkan dikalangan mahasiswa Indonesia semasa menghadiri lawatan kerja pemimpin pelajar Malaysia ke Indonesia tempoh hari. Mereka lantang bersuara dan tidak gentar untuk turun kejalanan. Namun mereka hairan dengan Malaysia, mereka tidak diberi peluang untuk duduk semeja dengan Bapak Presiden berbincang mengenai masalah negara mereka. Berbanding Malaysia, melalui perundingan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia memberi kedudukan yang istimewa terus menerus berbincang dengan Menteri dan Perdana Menteri. Tidak perlu turun ke jalanan. Peranan Majlis Perwakilan Pelajar haruslah dimanfaatkan sebaiknya. Sebagi respon mengenai peristiwa "Sweeping Malaysia" semua MPP Malaysia telah bersidang pada 09 September 2009 di USM dan memberi resolusi dan respon mengenai peristiwa ini untuk diserahkan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia.

.
Suka juga saya untuk memetik pendapat salah seorang Profesor dari Universiti Indonesia yang berpendapat Sweeping ini tidak perlu dan jelek sekali. Peranan pemimpin atasan sepatutnya lebih pantas mengawal membendung daripada dihidu oleh media. Kepincangan dalam kerajaan Indonesia juga teserlah bagi mengekang media massa mereka yang terlampau nasionalis tanpa memikirkan impak pada masa depan. Penguat kuasaan juga didakwa lemah sehingga sekatan jalan raya memegang buluh runcing yang menggambarkan semangat berkobar-kobar mempertahankan negara itu berjaya diadakan. Sebaliknya profesor tersebut memuji tindakan Malaysia yang bertindak secara rasional dengan memanggil duta Indonesia bagi menjernihkan keadaan.
.
Alhamdulillah sehingga hari ini diberitakan pihak berkuasa Indonesia telah mula bertindak dan ramai mahasiswa mereka berpendapat Sweeping ini tidak perlu dan mendakwa kumpulan tersebut hanyalah bertindak atas dasar menerima upah dan berbau politik. Kesan daripada pengumuman Bapak SBY berjaya memenangi pilihan raya presiden bagi penggal yang baru ini. Lebih-lebih lagi negara yang pertama dilawatinya selepas bergelar presiden adalah Malaysia yang dijadualkan pada Oktober ini. Saya juga ingin menafikan kejadian bahawa mahasiswa Malaysia yang belajar disana dianiaya oleh kumpulan berkenaan setelah saya menghubungi rakan mahasiswa di beberapa universiti di Indonesia melalui mail dan ruangan sembang. Namun di sebalik peristiwa ini saya lebih suka melihat ianya berpunca daripada agenda Yahudi yang mahu melihat umat Islam berpecah belah. Bangkitlah wahai umat Islam. Sweeping Yahudi saya rasakan lebih wajar dari Sweeping sesama umat Islam dek kerana tarian yang jelas bertentangan dengan Ajaran agama. Pelancongan, pelabur, pelajar, pekerja antara kedua-dua negara akan terkesan jika berterusan mengfitnah antara satu sama lain.
.
Realiti di Malaysia rakan-rakan serumpun dapat hidup aman damai mencari rezeki di bidang masing-masing. Majoritinya sebagai buruh binaan. Di USM juga saya bangga rakan serumpun saya dapat belajar dengan mendapat penajaan daripada USM sendiri. Dijadualkan juga di USM akan diadakan persembahan kebudayaan daripada pelajar Indonesia sendiri dan tarian Pandet akan dipersembahkan . Amat beruntung pelajar Indonesia di sini yang mendapat penajaan berbanding masih ramai lagi rakyat Malaysia sendiri yang memohon tetapi gagal memperolehinya. Ada juga rakan serumpun saya mendapat jawatan pembantu penyelidik yang bergaji RM 1000 di USM ini jika di tukarkan kedalam mata wang rupiah berjuta-jutalah jawabnya. Pengaliran wang yang cukup besar nilainya ini memberi keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Indonesia sendiri. Jangan hanya kerana tarian dan irama kita gadaikan dan nafikan kebaikan jiran tetangga. Ingatlah Malaysia-Indonesia kita serumpun.
.
"Tidur sebantal mimpi lain-lain"
:: Disebalik serumpun ada agenda tersembunyi

10 September 2009

:: Pelik tapi benar di Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Sekejap rasanya masa berlalu pantas sekali, hari ini bermulalah countdown untuk sama-sama memburu Malam Lailatul Qadar. Malam yang penuh kebertan. Yang mana jelas diterangkan dalam surah Al-Qadr yang mengandungi 5 ayat.

.
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar"
"Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam LAilatul-Qadar itu?"
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan"
"Pada malam itu, turun malaikat Jibril dengan izin tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut);"
"Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar"
.
InshaAllah marilah sama-sama berazam untuk mencari dan menerokai nikmat malam Lailatul-Qadar ini. Namun di dalam mengharungi keberkatan Ramadhan masih ada lagi perkara dan amalan kita yang PELIK tapi BENAR. Seharusnya hormatilah bulan yang penuh keberkatan ini.
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN tidak menunaikan solat
.
PELIKKAN ada juga yang pergi berbuka puasa di masjid NAMUN tidak menunaikan solat berjemaah tanpa alasan
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN masih lagi menunggang motorsikal dengan bukan mahram kesana-kesini
.
PELIKKAN ada yang pergi ke masjid untuk bersolat NAMUN tidak menjaga batas pergaulan dengan pasangan bukan mahramnya semasa hendak kemasjid dan pulang
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN di perpustakaan bergelak ketawa besar dengan bukan mahramnya
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN ke kelas berpakaian tidak menutup aurat
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN mengumpat sini sana
.
Begitulah antara coretan saya sepanjang memerhatikan keadaan di perantauan ini. InshaALLAH sama-sama lah berdoa supaya diberikan kekuatan dan dijauhi segala perkara yang boleh menjejaskan pahala puasa kita. InshaALLAH juga moga puasa kita tahun ini lebih baik dari puasa-puasa pada tahun sebelumnya.
.
"Balik kampung 18hb malam"
:: Menghati Ramadhan di perantauan