16 August 2010

:: Alhamdulillah 4 Ogos 2010

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam 1Malaysia
.
Salam Ramadhan Al-Mubarak
.
Tanggal 4hb Ogos 2010 sekali lagi memberi dimensi baru bagi saya kerna berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Sains Sinaran kelulusan daripada Universiti tersohor tanah air Universiti Sains Malaysia (Apex University). Alhamdulillah semuanya selamat berlangsung di DTSP USM Pulau Pinang. Sesi yang diadakan adalah sesi 2 iaitu sebelah petang. Sebagai menghargai sokongan daripada kedua ibu bapa saya, saya menghadiahkan 2 tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Sudah lama saya menunggu untuk saat ini. Kelihatan terpancar kegembiraan di wajah ma yang tidak pernah terfikir untuk menaiki Kapal terbang kerana kami orang kampung, orang susah dan ditambah pula ma saya seorang suri rumah sepenuh masa. 24 jam berada di rumah, membesarkan kami semua dan mensejahterakan keluarga, memberi khidmat kepada suaminya iaitu ayah saya sehingga ke hari ini. Namun hari ini ma saya sudah mampu merasai sedikit pengalaman yang baru dalam sisa hidupnya. Alhamdulillah gaji pertama saya dapat juga saya menggembirakannya.
.
Lawatan kedua ibu bapa saya ke Kuala Lumpur tempoh hari juga amat padat, di sebelah paginya kami 3 beranak berpeluang menaiki LRT dan komuter KTM salah satu aktiviti santai meninjau keindahan kota metropolitan. Tidak ketinggalan kami singgah di Batu Caves, tempat saya ingin membeli sebuah kereta bagi kegunaan peribadi saya. Setelah berpuas hati kami mencuba kereta sedan jenis Hyundai Accent 1.5 (A) tahun 2005 dan bersedia untuk membelinya.
.
Kebetulan 4hb juga bank menelefon mengatakan pinjaman sudah diluluskan dan pihak kedai menyuruh saya mengambil kereta tersebut. Sungguh tidak sangka. Dipermudahkan urusan kami sesempurna itu. Alhamdulillah tuhan maha kuasa.
.
Kini saya kembali ke KSKB dengan satu semangat baru, bekalan ilmu di dada jika tidak diamal tidak ada gunanya. Dengan harapan ingin berkongsi ilmu bersama para pelajar, saya berharap saya mampu melaksanakannya. Tahun ini saya menyambut Ramadhan di Selangor, juga banyak memberi saya pelbagai ilmu baru. Alhamdulillah di tempat kediaman saya jemaah juga hidup. Saya diberi kesempatan untuk menimba lebih banyak ilmu.
.
Pada hari ini, saya bersyukur sangat-sangat dengan segala rezeki yang telah Allah berikan. Benar janjinya dalam surah Al-Talaaq ayat 2-3 bermaksud "Barang siapa berTAQWA kepada Allah, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluanya. Sesungguhnya allah melaksanakan urusan (yang dikhendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
.
"Berusaha mencapai kesempurnaan iman"
:: Alhamdulillah aku sujud syukur