17 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part 4)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


1. Setibanya kami di Madinah Munawarah, Haji Mutawif telah membahagikan bilik, untuk kali ini saya sebilik dengan Bapa Saudara, Sepupu, dan Haji Mustapha, juga Haji Safwan (Mutawif). Alangkah bertuahnya bila sebilik dengan Haji Mutawif, apa lagi segala pengalaman tips, soalan kita tanya sampaikan Haji Mutawif nak berehat pun terganggu. Alhamdulillah Haji Safwan (Mutawif) walaupun muka serius namun tidak lokek berkongsi pengalaman.  

2. Kami bersiap dengan pantas memandangkan lebih kurang 50 minit lagi Azan Subuh. Kebetulan pula hari kami tiba hari Jumaat. Jumaat dan Sabtu adalah cuti umum bagi Arab Saudi, ramai jemaah yang datang (hari biasa pun ramai), sebaik sahaja azan maka kita akan melihat berbondong-bondong jemaah ke Masjid, yang kecil, yang dewasa, yang berjalan, yang berkerusi roda semuanya menuju KEJAYAAN. Rebutlah pahala bersolat di saf depan bersama Imam, mendapatkan takbiratul Ula, menunaikan solat sunat sebelum Subuh, banyak manfaatnya. Bagi orang-orang yang mahu mendapatkannya, beruntunglah.





3. Solat di Masjidil Nabawi sangat indah, apatah lagi Jasad Rasulullah SAW ada bersama di penjuru kiri masjid (jika berdiri mengadap kiblat). Imamnya pula yang dulu hanya pernah mendengar di CD, kini dapat dilihat dengan mata ini juga alunan sama tidak ubah sedikit. Allah huakbar, perasaan ini sukar digambarkan, ketenangan, syukur merasai nikmat ini.

4. Muazzin di Masjid Nabawi berada di atas platform, manakala Imam pula akan bersolat di Raudhah. Saf kedua kelihatan beberapa orang askar di belakang Imam dan akan ada juga beberapa orang berkawal semasa solat.

5. Setelah selesai solat fardhu di sini, Biasanya (jika ada yang meninggal akan disolatkan setiap selepas solat fardhu, pernah juga suatu hari selepas Solat Zohor saya perasan tiada solat Jenazah di buat, bila saya bertanya kepada Haji Mutawif dia maklum tiada jenazah pada masa tersebut).

6. Imam akan ke mimbar bahagian depan, sementara jenazah di letakkan di dalam bilik bahagian depan Masjid Nabawi. (boleh lihat di bahagian luar masjid, petugas memindahkan jenazah masuk/keluar dari pintu tersebut). Belajarlah solat Jenazah, besar manfaatnya, lebih lebih lagi bersolat di Masjid Nabawi.

7.  Saya mengambil kesempatan untuk tidak terus balik ke bilik biarpun baru tiba perjalanan berjam-jam, gunalah peluang ini, saya menuju ke Pintu Babusalam (pintu 1), pintu ini dibuka 24 jam untuk ziarah Rasulullah SAW, dengan rasa rendah diri, malu, gembira, kaki melangkah masuk sambil perbanyakkan selawat kepada Rasulullah. Berilah salam kepada Rasulullah SAW, berdoa supaya mendapat syafaat Nabi, banyakkan selawat. Di depan makam Rasulullah SAW ada juga askar yang mengawal pergerakkan jemaah supaya tidak berlaku kesesakan. Askar juga melarang jemaah yang cuba 'meratapi' di depan makam Rasulullah SAW.



8. Ada juga sheikh yang memberi penerangan dalam bahasa Arab, ada juga dalam bahasa Indonesia, mereka mengingatkan supaya amalkan Sunnah Nabi SAW, perbanyakkan selawat, solat berjemaah di Masjid dan banyak lagi. Anda juga boleh bertanya jika ada apa soalan kepadanya. Saya berkongsi pengalaman, bilamana Askar menyapa saya, Malaysia?, saya membalas Yes!, lalu dia menggapai bahu saya sambil menunjukkan Makam Rasulullah SAW di bahagian tengah manakala di sisi kiri dan kanannya kosong.

9. Alhamdulillah saya sempat merenung kedalam, untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, sheikh membantu iaitu sambil menunjukkan kedudukan Makam Rasulullah SAW, Makam Saidina Abu Bakar Ra, dan Saidina Umar Ra. Jangan putus berdoa dan bersalawat. Selepas beberapa minit Askar mengarahkan supaya bergerak keluar, Haji, Haji, Haji Khalas!! sambil menunjukkan ke arah pintu keluar. InsyaAllah azam saya setiap hari disini untuk menziarahi Rasulullah SAW.

10. Keluarnya dari masjid, kita akan dapat melihat Perkuburan Baqi di bahagian tepi Masjid Nabawi. Saya masuk semula ke masjid, rasa rindunya pada Rasulullah SAW, mana mungkin meninggalkan jasadnya di depan mata sahaja. Beriktikaf, membaca Al-Quran, sambil menunggu solat sunat Israk dan Dhuha selepas 30 minit, syuruk. Teknologi kini amat membantu, aplikasi Pro Muslim yang digunakan dapat menunjukkan waktu solat mengikut kawasan yang dilewati (GPS). Setelah selesai, saya pulang semula ke Hotel untuk sarapan pagi dan kemas barang.

No comments: