02 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part2)

Bismillahirrahmanirrahim  


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. Alhamdulillah tarikh 14 Mac 2019, telah tiba. Suasana hiba makin terasa bila hari terakhir sebelum berangkat, saya mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan semua rakan pejabat, baik Pengajar, Tuan Pengarah, rakan pentadbiran, pengusaha kafeteria juga rakan Masjid Hospital Sungai Buloh. Mereka mendoakan kesejahteraan dan dipermudahkan urusan di sana. Sayu hati bila rakan-rakan doakan begitu, ada juga yang kirimkan doa, ada juga menghulurkan sedikit wang saku untuk kegunaan disana. Terima kasih semua.

2. Setibanya saya di KLIA, kami dikehendaki berkumpul di aras 5, perlepasan berhampiran kaunter H. Ustaz Safwan yang akan membantu kami check in sebagaimana dalam group wasap yang dibuat lebih awal. Segala maklumat dan komunikasi adalah melalui saluran group wasap. Kemudahan ini sedikit sebanyak membatu kami para jemaah.

3. Sebaik sahaja Ustaz Safwan sampai di airport, saya terus mendapatkan ustaz memperkenalkan diri dari mana dan membantu ustaz mengagihkan name tag, passport dan beg tag. Terkejut bila ustaz menggunakan kata ganti nama Haji kepada saya. Rupanya barulah saya faham iaitu kata-kata itu doa, panggilan yang baik, so kami gunakan Haji bagi jemaah lelaki dan Hajjah bagi jemaah perempuan.

4. Kami mula bekerjasama menyusun beg, meletakkan tag bag Umrah, dan terus mendengar taklimat yang disampaikan oleh Haji Safwan mutawif segak memakai Vest Tiram. Haji memaklumkan terus makan tengah hari sebelum check in dan solat Zohor dan Asar jamak terus di dalam bangunan perlepasan. Suasana bertambah hiba bila berpisah dengan ahli keluarga, sempat juga berpesan kepada keluarga, andai apa berlaku, biarlah di selesaikan disana, jangan bawak balik. Ma dan saya bersalam dengan cucu dan adik beradik terus melalui kaunter check in dan imigresen selepas makan di The Garden Food Court KLIA. Flight kami ke Jeddah pada jam 3 petang.

5. Berbekalkan semangat dan panduan Prof Kamil (Video Ceramah Umrah),  selalu ingat pergi umrah semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah. 

6. Alhamdulillah pesawat kami tiba tepat pada masa dan bersama-sama jemaah dari Indonesia juga agensi perlancongan lain dari Malaysia, ada kalangan mereka berihram siap-siap, dan kami akan ke Madinah dahulu. Saya difahamkan pesawat kami bukan charted flight, ia commercial flight, kalau charted khas untuk umrah, akan ada azan, ruang solat, pramugari bertudung lengkap, dan semua penumpang adalah jemaah umrah. Pesawat kami ada juga penumpang biasa. Tidak ada masalah.

7. Selepas 2 jam, kami dihidangkan dengan makanan, pramugari tanya nak ayam sate atau kari ikan, saya pilih ayam sate dimakan dengan nasi. Alhamdulillah sedap juga sate makan dengan nasi kuah kacang. Perjalanan ke Jeddah adalah selama 9 jam. Selepas makan kemudian, 2 jam sebelum tiba di jeddah, sekali lagi dihidangkan makanan, nasi lemak pulak. 

8. Bila hampir tiba, kapten membuat pengumuman memasuki miqat qarnul manazil, supaya jemaah yang ingin menunaikan umrah berniat. Mereka bertahmid, mula menjaga perkara larangan dalam ihram.

9. Alhamdulillah kami tiba di Jeddah jam 7 malam waktu Arab Saudi. Selepas mendarat di Lapangan terbang King Abdul Aziz, Jeddah. Kami perlu menaiki coaster, bas untuk ke bangunan terminal. Ujian pertama kami pemandu coaster tersebut boleh tahan, macam F1 dalam landasan, berpusing jugak penumpang dalamnya. Namun jemaah kelihatan tenang beristighfar.




10. Kami dikhendaki melalui Imigresen di Jeddah, mengecop 5 jari juga mengambil sekeping gambar dengan kamera disediakan. Kami kumpul semua beg tiram dan bergerak berkumpulan menuju ke luar bangunan terminal. Kelihatan juga pemuda Arab sibuk meminta pasport kami katanya untuk pendaftaran simkard percuma, namun Haji mutawif pesan supaya teruskan juga perjalanan elak penipuan. Baru je sampai di Jeddah kena hati-hati, kami solat Jamak Takdim dan menaiki bas ke Madinah yang memakan masa 9 jam lagi.

No comments: