11 September 2015

:: KEPERLUAN PERKHIDMATAN??

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Salam Sihat 1 Malaysia,

1. KEPERLUAN PERKHIDMATAN?? merupakan satu alasan yang tidak mungkin dapat disangkal malah akan menjadi mimpi buruk kepada semua kakitangan. Saya melihat alasan ini sebagai satu FRASA KATA yang amat perit untuk diterima walau dijanjikan habuan elaun tertentu sebagai memadam agenda halus sesuatu Jabatan. Walaupun dipihak yang berkepentingan, akan tetap mempertahankan tindakan alasan ini, saya merasakan tidak adakah sifat kemanusiaan sekurangnya cuba memberi ruang kepada empunya diri untuk menyatakan justifikasi bagi menyangkal alasan tersebut.


2. Di pihak pekerja, saya merasakan jika diamalkan sebegini akan mendatangkan ketidakpuasan hati malah akan menjejaskan prestasi seseorang. Lebih-lebih lagi jika seseorang yang baru sahaja berkhidmat dalam organisasi, baru memulakan hidup bekerluarga, baru memiliki rumah, baru gembira melihat anak di sekolah, terus DITUKARKAN ke tempat baharu tanpa alasan munasabah, hanya kerana KEPERLUAN PERKHIDMATAN. Adakah budaya sebegini telah lama wujud dalam Jabatan?. Jika YA pasti dan pasti saya nampak ianya lebih kepada membunuh Karakter, dibimbangi budaya CANTAS-MENCANTAS akan lebih tersebar memandangkan arahan adalah daripada seseorang individu mahupun sesuatu kumpulan.


3. Dalam konteks KEPERLUAN JABATAN ini, sudah tentu ianya seolah-olah dirancang dengan rapi. Perancangan oleh sekumpulan tangan-tangan ghaib ini mengakibatkan ramai yang terkesan. Ramai jiwa menangis, meronta, sehingga lebih teruk menggugut untuk memilih jalan keluar akibat terlalu kecewa.

4. Saya memohon dan merayu kepada kumpulan tangan-tangan ghaib ini, sebagai pembuat dasar, kita harus berhati besar, berkhidmat bersama-sama, jujur dalam tindakan, ketepikan agenda, bertoleransi, malah memberi ruang dan peluang yang adil kepada semua. Jangan terlalu ghairah, rakus mengejar impian hingga membunuh semangat orang lain, lebih teruk lagi jika sampai memisahkan suami isteri yang tersepit dengan KEPERLUAN PERKHIDMATAN, keluarga haru biru, hubungan tidak menentu sudah tentu menjurus kepada persekitaran yang tidak sihat.


5. Sepatutnya kumpulan pembuat keputusan, melihat kembali punca, adakah berpunca daripada tindakan tergesa-gesa ataupun, tiadakah cara yang terbaik selain MERENTAP JIWA pekerja, dengan alasan KEPERLUAN PERKHIDMATAN semata-mata. Ambillah pengajaran tentang peristiwa terdahulu, jangan sampai dijadikan budaya, sehingga anggota sendiri sudah berasa tidak selamat, prestasi kerja merosot, hubungan keluarga terjejas, hanya jalan terakhir adalah jalan keluar yang sangat perit.


6. Sebagai seorang anggota perkhidmatan awam saya turut terkesan dengan alasan KEPERLUAN PERKHIDMATAN, baru-baru ini melanda kawan saya, namun, saya perlu bersedia aku janji yang dilafazkan memadamkan semua hujah dan justifikasi sehingga ada yang mendakwa SAYA YANG MENURUT PERINTAH. Agak pahit namun itulah perlu ditelan, saya cuba membantu, pasti dan pasti ada caranya, tidak perlu ke jalanan, tidak perlu juga membakar suar di pejabat, tidak perlu memijak mana-mana gambar, tidak perlu juga menubuhkan HARAPAN BARU, apatah lagi budaya paling digemari 'SURAT LAYANG' yang terbang bertebaran. Saya memilih cara perundingan!

7. Bahulah kami PERSATUAN! mohon sedikit ruang perbincangan, adakah dengan sekeping surat arahan, memadam keseluruhan jasa yang dicurahkan, mujur ada kawan, merubah dimensi pemikiran, mengarah kepada sudut pandang yang lebih positif, MUNGKIN REZEKI DI SANA, namun perlu sedikit masa. Fikirlah sahabat, usah mudah menyerah kalah, kita cuba cara, kita ikhtiar, kita berdoa, dan pastinya kita perlu BERSERAH.



"Roda itu berputar, kadang ia bergolek keatas, kadang ia bergolek kebawah"
:: Mimpi ngeri KEPERLUAN PERKHIDMATAN