17 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part 4)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


1. Setibanya kami di Madinah Munawarah, Haji Mutawif telah membahagikan bilik, untuk kali ini saya sebilik dengan Bapa Saudara, Sepupu, dan Haji Mustapha, juga Haji Safwan (Mutawif). Alangkah bertuahnya bila sebilik dengan Haji Mutawif, apa lagi segala pengalaman tips, soalan kita tanya sampaikan Haji Mutawif nak berehat pun terganggu. Alhamdulillah Haji Safwan (Mutawif) walaupun muka serius namun tidak lokek berkongsi pengalaman.  

2. Kami bersiap dengan pantas memandangkan lebih kurang 50 minit lagi Azan Subuh. Kebetulan pula hari kami tiba hari Jumaat. Jumaat dan Sabtu adalah cuti umum bagi Arab Saudi, ramai jemaah yang datang (hari biasa pun ramai), sebaik sahaja azan maka kita akan melihat berbondong-bondong jemaah ke Masjid, yang kecil, yang dewasa, yang berjalan, yang berkerusi roda semuanya menuju KEJAYAAN. Rebutlah pahala bersolat di saf depan bersama Imam, mendapatkan takbiratul Ula, menunaikan solat sunat sebelum Subuh, banyak manfaatnya. Bagi orang-orang yang mahu mendapatkannya, beruntunglah.





3. Solat di Masjidil Nabawi sangat indah, apatah lagi Jasad Rasulullah SAW ada bersama di penjuru kiri masjid (jika berdiri mengadap kiblat). Imamnya pula yang dulu hanya pernah mendengar di CD, kini dapat dilihat dengan mata ini juga alunan sama tidak ubah sedikit. Allah huakbar, perasaan ini sukar digambarkan, ketenangan, syukur merasai nikmat ini.

4. Muazzin di Masjid Nabawi berada di atas platform, manakala Imam pula akan bersolat di Raudhah. Saf kedua kelihatan beberapa orang askar di belakang Imam dan akan ada juga beberapa orang berkawal semasa solat.

5. Setelah selesai solat fardhu di sini, Biasanya (jika ada yang meninggal akan disolatkan setiap selepas solat fardhu, pernah juga suatu hari selepas Solat Zohor saya perasan tiada solat Jenazah di buat, bila saya bertanya kepada Haji Mutawif dia maklum tiada jenazah pada masa tersebut).

6. Imam akan ke mimbar bahagian depan, sementara jenazah di letakkan di dalam bilik bahagian depan Masjid Nabawi. (boleh lihat di bahagian luar masjid, petugas memindahkan jenazah masuk/keluar dari pintu tersebut). Belajarlah solat Jenazah, besar manfaatnya, lebih lebih lagi bersolat di Masjid Nabawi.

7.  Saya mengambil kesempatan untuk tidak terus balik ke bilik biarpun baru tiba perjalanan berjam-jam, gunalah peluang ini, saya menuju ke Pintu Babusalam (pintu 1), pintu ini dibuka 24 jam untuk ziarah Rasulullah SAW, dengan rasa rendah diri, malu, gembira, kaki melangkah masuk sambil perbanyakkan selawat kepada Rasulullah. Berilah salam kepada Rasulullah SAW, berdoa supaya mendapat syafaat Nabi, banyakkan selawat. Di depan makam Rasulullah SAW ada juga askar yang mengawal pergerakkan jemaah supaya tidak berlaku kesesakan. Askar juga melarang jemaah yang cuba 'meratapi' di depan makam Rasulullah SAW.



8. Ada juga sheikh yang memberi penerangan dalam bahasa Arab, ada juga dalam bahasa Indonesia, mereka mengingatkan supaya amalkan Sunnah Nabi SAW, perbanyakkan selawat, solat berjemaah di Masjid dan banyak lagi. Anda juga boleh bertanya jika ada apa soalan kepadanya. Saya berkongsi pengalaman, bilamana Askar menyapa saya, Malaysia?, saya membalas Yes!, lalu dia menggapai bahu saya sambil menunjukkan Makam Rasulullah SAW di bahagian tengah manakala di sisi kiri dan kanannya kosong.

9. Alhamdulillah saya sempat merenung kedalam, untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, sheikh membantu iaitu sambil menunjukkan kedudukan Makam Rasulullah SAW, Makam Saidina Abu Bakar Ra, dan Saidina Umar Ra. Jangan putus berdoa dan bersalawat. Selepas beberapa minit Askar mengarahkan supaya bergerak keluar, Haji, Haji, Haji Khalas!! sambil menunjukkan ke arah pintu keluar. InsyaAllah azam saya setiap hari disini untuk menziarahi Rasulullah SAW.

10. Keluarnya dari masjid, kita akan dapat melihat Perkuburan Baqi di bahagian tepi Masjid Nabawi. Saya masuk semula ke masjid, rasa rindunya pada Rasulullah SAW, mana mungkin meninggalkan jasadnya di depan mata sahaja. Beriktikaf, membaca Al-Quran, sambil menunggu solat sunat Israk dan Dhuha selepas 30 minit, syuruk. Teknologi kini amat membantu, aplikasi Pro Muslim yang digunakan dapat menunjukkan waktu solat mengikut kawasan yang dilewati (GPS). Setelah selesai, saya pulang semula ke Hotel untuk sarapan pagi dan kemas barang.

03 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part 3)

Bismillahirrahmanirrahim  


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


1. Semasa di Lapangan terbang kami semua diarahkan untuk terus menunaikan Solat Maghrib Jamak dengan Solat Isyak. Selepas itu kami semua berkumpul dan membantu memasukkan beg Tiram travel ke bas yang telah menunggu di kawasan parking airport. Kebetulan kumpulan kami diuji dengan stroller salah seorang jemaah kami terpisah ke bagasi antarabangsa. Haji Mutawif terpaksa bergegas semula ke dalam dan membuat aduan. Alhamdulillah setelah 30 minit akhirnya kami berjaya mendapatkan semula stroller yang terlepas ke bahagian lain. Alhamdulillah

2. Bas yang membawa kami ke Madinah dipandu oleh seorang arab dari Sudan, tinggi berkulit gelap dan hanya boleh berbahasa Arab. Khalas? kami menjawab Khalas! Bas kami warna merah YUTONG syarikatnya. Kami difahamkan perjalanan dari Lapangan Terbang ke Madinah adalah selama 7 jam.

3. Setelah 3 jam perjalanan kami berhenti sebentar di RnR. Disana saya melihat ramai jemaah lain dari pelbagai pelusok dunia, yang datang menunaikan ibadah Umrah. Rasa kecil dan amat terharu. Haji Mutawif telah memesan nasi ayam yang ditempah dari D'Saji bersama air mineral dan buah epal. Semua ambil satu sorang dan makan di RnR. Lampu samar-samar dan suasana RnR tidak sama dengan Malaysia tentu sekali. Agak unik, tandas juga disediakan beserta surau. Kena beratur kerana kebetulan kami sampai penuh bas juga berhenti. Adat bermasyarakat.

4. Kami meneruskan perjalanan ke Madinah setelah 1 jam kemudian. Kami semua diuji sekali lagi bila perjalanan kami hanya tinggal 10-15km sahaja tiba di Tanah Haram Madinah, bas YUTONG kami tiba-tiba mengalami kerosakan. Saya perasan pada waktu itu, ada batu atau besi di jalan raya telah menghempap bahagian bawah bas. Kesannya tangki minyak hitam bas kami telah pecah. Bas terpaksa berhenti di tepi Highway dan tidak dapat meneruskan perjalanan.

5. Para Duyufurrahman nampak tenang, pemandu bas dan Haji Mutawif kami berusaha mengatasi masalah yang berlaku, akhirnya Haji Mutawif membuat pengumuman bahawa bas kami tidak dapat diperbaiki dan perlu menunggu bas lain yang akan datang membawa kami ke hotel di Madinah. Anggaran masa menunggu ialah 45 minit.

6. Selama menunggu bas lain tiba, Alhamdulillah semua jemaah sangat tenang, tidak ada yang merungut apatah lagi yang marah seakan semua faham ujian yang menimpa kami. Banyakkan bersabar dan beristighfar. Ada hikmahnya. Jam ditangan menunjukkan jam 3pagi, lagi 2 jam Azan Subuh di Madinah.

7. Setelah Bas baru tiba, kami semua lelaki bekerjasama memindahkan semua beg dan barangan ke bas lain, manakala jemaah  perempuan membantu jemaah yang uzur untuk ke bas yang lain. Tidak sampai 10 minit, kami selesai memindahkan semua barangan dan meneruskan perjalanan ke Madinah.

8. Setibanya di sempadan tanah Haram Madinah, mutawif kami Haji Safwan, membuat pengumuman dan memimpin bacaan doa memasuki tanah haram. Secara jujur saya sangat tersentuh, rasa syukur yang amat bila direzekikan ke sana. Sempat saya menoleh kepada ibu saya, kelihatan sugul menitiskan air mata tanda syukur. Dari dalam bas Haji Mutawif menunjukkan kepada kami hotel kami, amat dekat dengan Masjidil Nabawi, tidak kurang 50m dari pintu pagar 15. Alhamdulillah. 


9. Bila mana kami melihat kubah hijau Masjidil Nabawi, perbanyakkan selawat, berilah salam kepada Rasullullah, "Assalamualaika ya Rasulullah", berdiri bulu roma, rindunya bertemu kekasih Allah, ya Rasullullah. Kami menginab di hotel Elaf Taiba, 50m sahaja dari pintu no 15 Mas

10. Selepas sahaja kami check in bilik, terus bersiap untuk menunaikan Solat Subuh di Masjidil Nabawi. Suasana Subuh disana seperti solat Jumaat di Malaysia. Boleh dikatakan penuh dalam dan dataran Masjid. Kebetulan pula Jumaat adalah cuti mingguan Arab Saudi. Alhamdulillah kami sempat berjemaah Subuh pertama di Tanah Haram Madinah. Subuh kami diimakan oleh Imam Sheikh Al Hudhaifi. Sebiji macam kaset. Alhamdulillah 







02 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part2)

Bismillahirrahmanirrahim  


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. Alhamdulillah tarikh 14 Mac 2019, telah tiba. Suasana hiba makin terasa bila hari terakhir sebelum berangkat, saya mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan semua rakan pejabat, baik Pengajar, Tuan Pengarah, rakan pentadbiran, pengusaha kafeteria juga rakan Masjid Hospital Sungai Buloh. Mereka mendoakan kesejahteraan dan dipermudahkan urusan di sana. Sayu hati bila rakan-rakan doakan begitu, ada juga yang kirimkan doa, ada juga menghulurkan sedikit wang saku untuk kegunaan disana. Terima kasih semua.

2. Setibanya saya di KLIA, kami dikehendaki berkumpul di aras 5, perlepasan berhampiran kaunter H. Ustaz Safwan yang akan membantu kami check in sebagaimana dalam group wasap yang dibuat lebih awal. Segala maklumat dan komunikasi adalah melalui saluran group wasap. Kemudahan ini sedikit sebanyak membatu kami para jemaah.

3. Sebaik sahaja Ustaz Safwan sampai di airport, saya terus mendapatkan ustaz memperkenalkan diri dari mana dan membantu ustaz mengagihkan name tag, passport dan beg tag. Terkejut bila ustaz menggunakan kata ganti nama Haji kepada saya. Rupanya barulah saya faham iaitu kata-kata itu doa, panggilan yang baik, so kami gunakan Haji bagi jemaah lelaki dan Hajjah bagi jemaah perempuan.

4. Kami mula bekerjasama menyusun beg, meletakkan tag bag Umrah, dan terus mendengar taklimat yang disampaikan oleh Haji Safwan mutawif segak memakai Vest Tiram. Haji memaklumkan terus makan tengah hari sebelum check in dan solat Zohor dan Asar jamak terus di dalam bangunan perlepasan. Suasana bertambah hiba bila berpisah dengan ahli keluarga, sempat juga berpesan kepada keluarga, andai apa berlaku, biarlah di selesaikan disana, jangan bawak balik. Ma dan saya bersalam dengan cucu dan adik beradik terus melalui kaunter check in dan imigresen selepas makan di The Garden Food Court KLIA. Flight kami ke Jeddah pada jam 3 petang.

5. Berbekalkan semangat dan panduan Prof Kamil (Video Ceramah Umrah),  selalu ingat pergi umrah semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah. 

6. Alhamdulillah pesawat kami tiba tepat pada masa dan bersama-sama jemaah dari Indonesia juga agensi perlancongan lain dari Malaysia, ada kalangan mereka berihram siap-siap, dan kami akan ke Madinah dahulu. Saya difahamkan pesawat kami bukan charted flight, ia commercial flight, kalau charted khas untuk umrah, akan ada azan, ruang solat, pramugari bertudung lengkap, dan semua penumpang adalah jemaah umrah. Pesawat kami ada juga penumpang biasa. Tidak ada masalah.

7. Selepas 2 jam, kami dihidangkan dengan makanan, pramugari tanya nak ayam sate atau kari ikan, saya pilih ayam sate dimakan dengan nasi. Alhamdulillah sedap juga sate makan dengan nasi kuah kacang. Perjalanan ke Jeddah adalah selama 9 jam. Selepas makan kemudian, 2 jam sebelum tiba di jeddah, sekali lagi dihidangkan makanan, nasi lemak pulak. 

8. Bila hampir tiba, kapten membuat pengumuman memasuki miqat qarnul manazil, supaya jemaah yang ingin menunaikan umrah berniat. Mereka bertahmid, mula menjaga perkara larangan dalam ihram.

9. Alhamdulillah kami tiba di Jeddah jam 7 malam waktu Arab Saudi. Selepas mendarat di Lapangan terbang King Abdul Aziz, Jeddah. Kami perlu menaiki coaster, bas untuk ke bangunan terminal. Ujian pertama kami pemandu coaster tersebut boleh tahan, macam F1 dalam landasan, berpusing jugak penumpang dalamnya. Namun jemaah kelihatan tenang beristighfar.




10. Kami dikhendaki melalui Imigresen di Jeddah, mengecop 5 jari juga mengambil sekeping gambar dengan kamera disediakan. Kami kumpul semua beg tiram dan bergerak berkumpulan menuju ke luar bangunan terminal. Kelihatan juga pemuda Arab sibuk meminta pasport kami katanya untuk pendaftaran simkard percuma, namun Haji mutawif pesan supaya teruskan juga perjalanan elak penipuan. Baru je sampai di Jeddah kena hati-hati, kami solat Jamak Takdim dan menaiki bas ke Madinah yang memakan masa 9 jam lagi.

01 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part1)

Bismillahirrahmanirrahim 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur kerana direzekikan Allah untuk menunaikan Ibadah Umrah buat kali pertama dalam hidupku. Lebih istimewa lagi apabila kunjungan ini bersama Ibuku, yang selalu berdoa supaya diberikan kesempatan untuk kesana bersama anaknya.

2. Mutawif sering mengulangi, Ibadah Umrah ini bukan asbab duit, asbab masa, asbab travel agent tetapi sangat istimewa iaitu Allah yang jemput ke sana. Berapa ramai yang berduit, beharta, mempunyai masa lapang yang banyak namun tidak dijemput Allah SWT. Maka wajar sekali disyukuri dan buatlah yang terbaik dalam menuju kesempurnaan beribadah.

3. Kisah perjalanan Umrahku bermula apabila pelawaan dari Bapa Saudara (guru pencen) kepada ibuku, dan terus disahut gembira. Namun berat dihati lagi diingiti doa ibuku untuk mengerjakan Umrah bersama anaknya. Akhirnya ibu menyuarakan kepada saya akan hasrat untuk menunaikan Umrah bersama rombongan bapa saudara dan keluarga.


4. Saya pada mula, agak sahdu, terharu namun masih ingat lagi kata-kata doa ibu untuk kesana bersama anaknya. Lalu saya yakinkan ibu dengan bersetuju untuk membawa ibu disamping keluarga bapa saudara. Alhamdulillah dipermudahkan urusan, berkebetulan Tiram Travel (ada kekosongan 2 atau 3 tempat sahaja lagi), tarikh  (14 Mac - 25 Mac 2019) tiada kuliah, tiada exam. Saya daftarkan bersama ibu dan rombongan di Tiram Kota Bharu dengan RM 500 yuran pada awal Januari 2019. (Pakej saya RM 5690 safwah hotel)

5. Tidak terlintas langsung dalam perancangan saya untuk menunaikan ibadah Umrah pada 2019, memandangkan isteri sedang sarat mengandung anak ke-4 dan juga baru sahaja pulang dari Sabah pada hujung Disember 2018. Inilah dikatakan rezeki, doa ibu amat mustajab, semua adik beradik memberikan sokongan kepada saya dan ibu. Persediaan perlu dilakukan segera. Ibadah perlulah berilmu agar tidak sia-sia perbuatannya. Doa tidak putus-putus sehingga selesai ibadah, pesan ustazku.



6. Memandangkan kursus Umrah hanya diadakan pada hujung minggu, kebetulan pula saya bermusafir pada setiap hujung minggu KL- JENGKA. Kebetulan saya berjumpa rakan Pengajar disini Pn Kasma isteri kepada senior MedRad Abang Madi, yang baru sahaja pulang menunaikan Umrah pada Disember 2018 juga menggunakan perkhidmatan Tiram travel. Beliau memaklumkan di Saujana Utama juga ada pejabat cawangan Tiram travel. 



7. Saya menghubungi pejabat Tiram travel Saujana Utama, Sungai Buloh dan mohon untuk hadir bagi belajar berkursus Umrah di pejabat disana. Alhamdulillah, direzekikan pejabatnya tutup lewat, boleh lah saya ke sana lepas waktu pejabat. Saya tiba di sana pada jam 6.00 petang, dan disambut oleh Haji Faliq dan mertuanya. Di sana saya belajar secara 4 mata, dari awal perjalanan, amalan  disana, bacaan-bacaan serta ditunjukkan semua sehingga akhir, ada tv live Makkah turut membantu saya mendapat gambaran disana. Ada juga lukisan besar Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi, membuatkan saya lagi teruja untuk kesana.

8. Jam hampir 10.00 malam saya mohon undur diri dulu, bersungguh haji bercerita, begitulah semangatnya mereka membantu. Disana juga ada menjual kain ihram, alatan umrah, seperti beg kasut, bekas penyembur air, tali pinggang, sabun dan barangan keperluan lain. One stop center, di bahagian belakang pejabat pula, ada ruangan untuk kursus umrah hujung minggu, praktikal terus, mantap Tiram travel Saujana Utama. Tapi kalau hendak beli barangan kena datang petang sebab anak Haji dah balik, dia yang uruskan (no telefon Haji Faliq : 019-823 2602). Saya panjangkan slide yang diberikan download di sini klik disini

9. Turun dari pejabat, saya terus ke Klinik Siti, berhampiran pejabat Tiram travel, saya mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin untuk umrah, ada pakej 3 jarum, dan saya ambil satu jarum sahaja, RM 150. Sempat juga Dr pada masa itu mengusik saya, cucuk satu jarum pun sakit, isteri bila bersalin lagi sakit, hargailah isteri, Saya hangguk faham sambil tahan sakit suntikan vaksin hidup tersebut. Klinik Siti terima cash juga kad kredit, mudah dan cepat. Saya dibekalkan kad vaksin dan ianya diperlukan semasa memohon Visa umrah nanti. (Visa diuruskan oleh Tiram travel).

10. Pulang ke pejabat saya mengisi borang Cuti Tanpa Rekod (kelayakan bagi penjawat awam 7 hari tidak termasuk hujung minggu) sedang elok, pakej saya 12 hari dan saya ambil 2 hari cuti rehat tahunan untuk urusan selepas pulang, rehat atau bagaimana. Alhamdulillah dipermudahkan urusan, permohonan saya dihantar ke ibu pejabat dan diluluskan dokumen perlu (surat pengesahan dari Tiram travel mesti ada nama, tarikh penerbangan, pergi dan balik, dan no insuran agensi) boleh mitak tiram emailkan, lampirkan sekali semasa memohon.


11. Tidak lupa juga 3 keping gambar Visa, kena maklum kat photographer, cakap visa umrah, ada syarat dia, background kena putih dan pula mesti nampak muka, besar juga muka jadinya, pakaian pula tudung hitam, dan perlu buka spek. Alhamdulillah selesai dan hantar kepada cawangan Tiram Kota Bharu, beserta baki bayaran.




11 September 2015

:: KEPERLUAN PERKHIDMATAN??

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Salam Sihat 1 Malaysia,

1. KEPERLUAN PERKHIDMATAN?? merupakan satu alasan yang tidak mungkin dapat disangkal malah akan menjadi mimpi buruk kepada semua kakitangan. Saya melihat alasan ini sebagai satu FRASA KATA yang amat perit untuk diterima walau dijanjikan habuan elaun tertentu sebagai memadam agenda halus sesuatu Jabatan. Walaupun dipihak yang berkepentingan, akan tetap mempertahankan tindakan alasan ini, saya merasakan tidak adakah sifat kemanusiaan sekurangnya cuba memberi ruang kepada empunya diri untuk menyatakan justifikasi bagi menyangkal alasan tersebut.


2. Di pihak pekerja, saya merasakan jika diamalkan sebegini akan mendatangkan ketidakpuasan hati malah akan menjejaskan prestasi seseorang. Lebih-lebih lagi jika seseorang yang baru sahaja berkhidmat dalam organisasi, baru memulakan hidup bekerluarga, baru memiliki rumah, baru gembira melihat anak di sekolah, terus DITUKARKAN ke tempat baharu tanpa alasan munasabah, hanya kerana KEPERLUAN PERKHIDMATAN. Adakah budaya sebegini telah lama wujud dalam Jabatan?. Jika YA pasti dan pasti saya nampak ianya lebih kepada membunuh Karakter, dibimbangi budaya CANTAS-MENCANTAS akan lebih tersebar memandangkan arahan adalah daripada seseorang individu mahupun sesuatu kumpulan.


3. Dalam konteks KEPERLUAN JABATAN ini, sudah tentu ianya seolah-olah dirancang dengan rapi. Perancangan oleh sekumpulan tangan-tangan ghaib ini mengakibatkan ramai yang terkesan. Ramai jiwa menangis, meronta, sehingga lebih teruk menggugut untuk memilih jalan keluar akibat terlalu kecewa.

4. Saya memohon dan merayu kepada kumpulan tangan-tangan ghaib ini, sebagai pembuat dasar, kita harus berhati besar, berkhidmat bersama-sama, jujur dalam tindakan, ketepikan agenda, bertoleransi, malah memberi ruang dan peluang yang adil kepada semua. Jangan terlalu ghairah, rakus mengejar impian hingga membunuh semangat orang lain, lebih teruk lagi jika sampai memisahkan suami isteri yang tersepit dengan KEPERLUAN PERKHIDMATAN, keluarga haru biru, hubungan tidak menentu sudah tentu menjurus kepada persekitaran yang tidak sihat.


5. Sepatutnya kumpulan pembuat keputusan, melihat kembali punca, adakah berpunca daripada tindakan tergesa-gesa ataupun, tiadakah cara yang terbaik selain MERENTAP JIWA pekerja, dengan alasan KEPERLUAN PERKHIDMATAN semata-mata. Ambillah pengajaran tentang peristiwa terdahulu, jangan sampai dijadikan budaya, sehingga anggota sendiri sudah berasa tidak selamat, prestasi kerja merosot, hubungan keluarga terjejas, hanya jalan terakhir adalah jalan keluar yang sangat perit.


6. Sebagai seorang anggota perkhidmatan awam saya turut terkesan dengan alasan KEPERLUAN PERKHIDMATAN, baru-baru ini melanda kawan saya, namun, saya perlu bersedia aku janji yang dilafazkan memadamkan semua hujah dan justifikasi sehingga ada yang mendakwa SAYA YANG MENURUT PERINTAH. Agak pahit namun itulah perlu ditelan, saya cuba membantu, pasti dan pasti ada caranya, tidak perlu ke jalanan, tidak perlu juga membakar suar di pejabat, tidak perlu memijak mana-mana gambar, tidak perlu juga menubuhkan HARAPAN BARU, apatah lagi budaya paling digemari 'SURAT LAYANG' yang terbang bertebaran. Saya memilih cara perundingan!

7. Bahulah kami PERSATUAN! mohon sedikit ruang perbincangan, adakah dengan sekeping surat arahan, memadam keseluruhan jasa yang dicurahkan, mujur ada kawan, merubah dimensi pemikiran, mengarah kepada sudut pandang yang lebih positif, MUNGKIN REZEKI DI SANA, namun perlu sedikit masa. Fikirlah sahabat, usah mudah menyerah kalah, kita cuba cara, kita ikhtiar, kita berdoa, dan pastinya kita perlu BERSERAH.



"Roda itu berputar, kadang ia bergolek keatas, kadang ia bergolek kebawah"
:: Mimpi ngeri KEPERLUAN PERKHIDMATAN