11 September 2009

:: "Sweeping Malaysia" dari sudut Mahasiswa Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Indonesia oh Indonesia, negara yang majoritinya umat Islam bahkan teramai di dunia. Dalam suasana keberkatan di Bulan Ramadhan ini kita dikejutkan sekali lagi dengan polimik politik angkara agenda Rejim Zionis iaitu Yahudi yang mahu melihat umat Islam sekali lagi berpecah belah, bergolak, bergaduh sesama sendiri. Buih-buih ini yang banyak bertaburan di permukaan namun tidak ada gunanya. Sedar atau tidak agenda Yahudi ini berterusan sampai kebila-bila sehinggalah mereka mahu semua umat Islam memeluk agama mereka.
.
Memetik peristiwa yang berlaku di negara serumpun kita iaitu Indonesia. Baru-baru ini dikejutkan kita dengan tersiarnya berita mengenai betapa JAHAT dan ZALIMnya Malaysia kerana mencuri adat kebudayaan Indonesia. Tarian Pandet yang dimaksudkan. Bagaimana tuduhan dilemparkan hanya berlandaskan klip tayangan promosi Malaysia oleh National Geographic yang hanya beberapa minit. Lalu dinominasikan oleh media. Sensasinya bukan kepalang, berapi kesannya, mengungkit semangat nasionalis rakyat Indonesia mempertahankannya. Lebih teruk diadakan sekatan jalan raya kononnya sebagai tindak balas mengenai "kecurian" itu. Berkumpul kumpulan yang kononnya mahu bersiapsiaga menyerang Malaysia. Keadaan jadi hingar-bingar dek kerana tarian dan irama Terang Bulan. Begitulah kisah dan hebatnya peranan media yang berjaya mencetuskan satu polemik yang hebat mercerminkan kelemahan Umat Islam. Umat Islam amat mudah berpecah belah, fitnah mengfitnah jadi budaya. Sampai bila mahu kita teruskan.
.
Bagi saya, saya tidak hairan demontrasi di Indonesia ini kerana saya telah dihidangkan dengan demonstrasi dan semangat Nasionalis yang mengagumkan dikalangan mahasiswa Indonesia semasa menghadiri lawatan kerja pemimpin pelajar Malaysia ke Indonesia tempoh hari. Mereka lantang bersuara dan tidak gentar untuk turun kejalanan. Namun mereka hairan dengan Malaysia, mereka tidak diberi peluang untuk duduk semeja dengan Bapak Presiden berbincang mengenai masalah negara mereka. Berbanding Malaysia, melalui perundingan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia memberi kedudukan yang istimewa terus menerus berbincang dengan Menteri dan Perdana Menteri. Tidak perlu turun ke jalanan. Peranan Majlis Perwakilan Pelajar haruslah dimanfaatkan sebaiknya. Sebagi respon mengenai peristiwa "Sweeping Malaysia" semua MPP Malaysia telah bersidang pada 09 September 2009 di USM dan memberi resolusi dan respon mengenai peristiwa ini untuk diserahkan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia.

.
Suka juga saya untuk memetik pendapat salah seorang Profesor dari Universiti Indonesia yang berpendapat Sweeping ini tidak perlu dan jelek sekali. Peranan pemimpin atasan sepatutnya lebih pantas mengawal membendung daripada dihidu oleh media. Kepincangan dalam kerajaan Indonesia juga teserlah bagi mengekang media massa mereka yang terlampau nasionalis tanpa memikirkan impak pada masa depan. Penguat kuasaan juga didakwa lemah sehingga sekatan jalan raya memegang buluh runcing yang menggambarkan semangat berkobar-kobar mempertahankan negara itu berjaya diadakan. Sebaliknya profesor tersebut memuji tindakan Malaysia yang bertindak secara rasional dengan memanggil duta Indonesia bagi menjernihkan keadaan.
.
Alhamdulillah sehingga hari ini diberitakan pihak berkuasa Indonesia telah mula bertindak dan ramai mahasiswa mereka berpendapat Sweeping ini tidak perlu dan mendakwa kumpulan tersebut hanyalah bertindak atas dasar menerima upah dan berbau politik. Kesan daripada pengumuman Bapak SBY berjaya memenangi pilihan raya presiden bagi penggal yang baru ini. Lebih-lebih lagi negara yang pertama dilawatinya selepas bergelar presiden adalah Malaysia yang dijadualkan pada Oktober ini. Saya juga ingin menafikan kejadian bahawa mahasiswa Malaysia yang belajar disana dianiaya oleh kumpulan berkenaan setelah saya menghubungi rakan mahasiswa di beberapa universiti di Indonesia melalui mail dan ruangan sembang. Namun di sebalik peristiwa ini saya lebih suka melihat ianya berpunca daripada agenda Yahudi yang mahu melihat umat Islam berpecah belah. Bangkitlah wahai umat Islam. Sweeping Yahudi saya rasakan lebih wajar dari Sweeping sesama umat Islam dek kerana tarian yang jelas bertentangan dengan Ajaran agama. Pelancongan, pelabur, pelajar, pekerja antara kedua-dua negara akan terkesan jika berterusan mengfitnah antara satu sama lain.
.
Realiti di Malaysia rakan-rakan serumpun dapat hidup aman damai mencari rezeki di bidang masing-masing. Majoritinya sebagai buruh binaan. Di USM juga saya bangga rakan serumpun saya dapat belajar dengan mendapat penajaan daripada USM sendiri. Dijadualkan juga di USM akan diadakan persembahan kebudayaan daripada pelajar Indonesia sendiri dan tarian Pandet akan dipersembahkan . Amat beruntung pelajar Indonesia di sini yang mendapat penajaan berbanding masih ramai lagi rakyat Malaysia sendiri yang memohon tetapi gagal memperolehinya. Ada juga rakan serumpun saya mendapat jawatan pembantu penyelidik yang bergaji RM 1000 di USM ini jika di tukarkan kedalam mata wang rupiah berjuta-jutalah jawabnya. Pengaliran wang yang cukup besar nilainya ini memberi keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Indonesia sendiri. Jangan hanya kerana tarian dan irama kita gadaikan dan nafikan kebaikan jiran tetangga. Ingatlah Malaysia-Indonesia kita serumpun.
.
"Tidur sebantal mimpi lain-lain"
:: Disebalik serumpun ada agenda tersembunyi

No comments: