18 September 2009

:: Selamat Balik Kampung

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Alhamdulillah sedar atau tidak kita sudah berada di akhir Ramadhan tahun ini. Kemanisan Ramadhan yang kita kecapi tahun ini sungguh tidak dapat dinilaikan. Allah sahaja yang berhak menilainya. Sehingga ada yang hakikatnya berpuasa tetapi tidak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Moga-moga kita digolongkan bersama-sama dengan golongan yang beruntung. InshaAllah.
.
Malam ini InshaAllah saya bersama rakan-rakan mahasiswa USM yang lain akan berkonvoi pulang ke negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Kelantan. Di sini apabila disebutkan sahaja berasal dari Kelantan maka terpancar di benak fikiran ramai kenalan saya betapa indahnya negeri Kelantan. Negeri penuh dengan Majoriti rakyatnya beragama ISLAM. Ramai Alim dan Ulamak yang berasal dari negeri ini. Tidak lupa juga cerdik pandai, hartawan juga berbenihkan Kelantan. Saya turut merasa bangga dan insaf dengan rezeki yang dikurniakan ini. Darah Kelantan juga mengalir dalam diri saya.
.
Pengalaman di Luar Kelantan ini amatlah cukup mendewasakan saya. Pengalaman mencari tiket bas raya pasti tidak akan saya lupa. Malam ini difahamkan akibat terlalu ramai pelajar, dibuat dua peringkat 5 buah bas akan bertolak jam 8malam dan selebihnya jam 10 malam. Suasana amat meriah saya gambarkan. Kegirangan menyambut Syawal amat terasa disini. Di bilik saya ditemankan oleh peti suara yang mendendangkan lagu-lagu raya sebagai mengubat rindu kampung halaman. Difahamkan semua adik-adik sudah sampai di rumah, hanya menantikan saya sahaja untuk melengkapkan bilangan anggota keluarga. Sebak juga rasa terharu.
.
Doakan keselamatan saya dan rakan mahasiswa sekalian yang pulang ke kampung dan akan kembali setelah seminggu bercuti. Dalam kegirangan ini jangan kita lupakan RAMADHAN yang masih lagi berbaki. Manfaatkanlah.
.
"Balik kampung-satu keperluan"
:: Pengalaman tidak boleh dijual beli

No comments: