18 September 2009

:: Selamat Balik Kampung

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Alhamdulillah sedar atau tidak kita sudah berada di akhir Ramadhan tahun ini. Kemanisan Ramadhan yang kita kecapi tahun ini sungguh tidak dapat dinilaikan. Allah sahaja yang berhak menilainya. Sehingga ada yang hakikatnya berpuasa tetapi tidak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga. Moga-moga kita digolongkan bersama-sama dengan golongan yang beruntung. InshaAllah.
.
Malam ini InshaAllah saya bersama rakan-rakan mahasiswa USM yang lain akan berkonvoi pulang ke negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu Kelantan. Di sini apabila disebutkan sahaja berasal dari Kelantan maka terpancar di benak fikiran ramai kenalan saya betapa indahnya negeri Kelantan. Negeri penuh dengan Majoriti rakyatnya beragama ISLAM. Ramai Alim dan Ulamak yang berasal dari negeri ini. Tidak lupa juga cerdik pandai, hartawan juga berbenihkan Kelantan. Saya turut merasa bangga dan insaf dengan rezeki yang dikurniakan ini. Darah Kelantan juga mengalir dalam diri saya.
.
Pengalaman di Luar Kelantan ini amatlah cukup mendewasakan saya. Pengalaman mencari tiket bas raya pasti tidak akan saya lupa. Malam ini difahamkan akibat terlalu ramai pelajar, dibuat dua peringkat 5 buah bas akan bertolak jam 8malam dan selebihnya jam 10 malam. Suasana amat meriah saya gambarkan. Kegirangan menyambut Syawal amat terasa disini. Di bilik saya ditemankan oleh peti suara yang mendendangkan lagu-lagu raya sebagai mengubat rindu kampung halaman. Difahamkan semua adik-adik sudah sampai di rumah, hanya menantikan saya sahaja untuk melengkapkan bilangan anggota keluarga. Sebak juga rasa terharu.
.
Doakan keselamatan saya dan rakan mahasiswa sekalian yang pulang ke kampung dan akan kembali setelah seminggu bercuti. Dalam kegirangan ini jangan kita lupakan RAMADHAN yang masih lagi berbaki. Manfaatkanlah.
.
"Balik kampung-satu keperluan"
:: Pengalaman tidak boleh dijual beli

11 September 2009

:: "Sweeping Malaysia" dari sudut Mahasiswa Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Indonesia oh Indonesia, negara yang majoritinya umat Islam bahkan teramai di dunia. Dalam suasana keberkatan di Bulan Ramadhan ini kita dikejutkan sekali lagi dengan polimik politik angkara agenda Rejim Zionis iaitu Yahudi yang mahu melihat umat Islam sekali lagi berpecah belah, bergolak, bergaduh sesama sendiri. Buih-buih ini yang banyak bertaburan di permukaan namun tidak ada gunanya. Sedar atau tidak agenda Yahudi ini berterusan sampai kebila-bila sehinggalah mereka mahu semua umat Islam memeluk agama mereka.
.
Memetik peristiwa yang berlaku di negara serumpun kita iaitu Indonesia. Baru-baru ini dikejutkan kita dengan tersiarnya berita mengenai betapa JAHAT dan ZALIMnya Malaysia kerana mencuri adat kebudayaan Indonesia. Tarian Pandet yang dimaksudkan. Bagaimana tuduhan dilemparkan hanya berlandaskan klip tayangan promosi Malaysia oleh National Geographic yang hanya beberapa minit. Lalu dinominasikan oleh media. Sensasinya bukan kepalang, berapi kesannya, mengungkit semangat nasionalis rakyat Indonesia mempertahankannya. Lebih teruk diadakan sekatan jalan raya kononnya sebagai tindak balas mengenai "kecurian" itu. Berkumpul kumpulan yang kononnya mahu bersiapsiaga menyerang Malaysia. Keadaan jadi hingar-bingar dek kerana tarian dan irama Terang Bulan. Begitulah kisah dan hebatnya peranan media yang berjaya mencetuskan satu polemik yang hebat mercerminkan kelemahan Umat Islam. Umat Islam amat mudah berpecah belah, fitnah mengfitnah jadi budaya. Sampai bila mahu kita teruskan.
.
Bagi saya, saya tidak hairan demontrasi di Indonesia ini kerana saya telah dihidangkan dengan demonstrasi dan semangat Nasionalis yang mengagumkan dikalangan mahasiswa Indonesia semasa menghadiri lawatan kerja pemimpin pelajar Malaysia ke Indonesia tempoh hari. Mereka lantang bersuara dan tidak gentar untuk turun kejalanan. Namun mereka hairan dengan Malaysia, mereka tidak diberi peluang untuk duduk semeja dengan Bapak Presiden berbincang mengenai masalah negara mereka. Berbanding Malaysia, melalui perundingan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia memberi kedudukan yang istimewa terus menerus berbincang dengan Menteri dan Perdana Menteri. Tidak perlu turun ke jalanan. Peranan Majlis Perwakilan Pelajar haruslah dimanfaatkan sebaiknya. Sebagi respon mengenai peristiwa "Sweeping Malaysia" semua MPP Malaysia telah bersidang pada 09 September 2009 di USM dan memberi resolusi dan respon mengenai peristiwa ini untuk diserahkan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia.

.
Suka juga saya untuk memetik pendapat salah seorang Profesor dari Universiti Indonesia yang berpendapat Sweeping ini tidak perlu dan jelek sekali. Peranan pemimpin atasan sepatutnya lebih pantas mengawal membendung daripada dihidu oleh media. Kepincangan dalam kerajaan Indonesia juga teserlah bagi mengekang media massa mereka yang terlampau nasionalis tanpa memikirkan impak pada masa depan. Penguat kuasaan juga didakwa lemah sehingga sekatan jalan raya memegang buluh runcing yang menggambarkan semangat berkobar-kobar mempertahankan negara itu berjaya diadakan. Sebaliknya profesor tersebut memuji tindakan Malaysia yang bertindak secara rasional dengan memanggil duta Indonesia bagi menjernihkan keadaan.
.
Alhamdulillah sehingga hari ini diberitakan pihak berkuasa Indonesia telah mula bertindak dan ramai mahasiswa mereka berpendapat Sweeping ini tidak perlu dan mendakwa kumpulan tersebut hanyalah bertindak atas dasar menerima upah dan berbau politik. Kesan daripada pengumuman Bapak SBY berjaya memenangi pilihan raya presiden bagi penggal yang baru ini. Lebih-lebih lagi negara yang pertama dilawatinya selepas bergelar presiden adalah Malaysia yang dijadualkan pada Oktober ini. Saya juga ingin menafikan kejadian bahawa mahasiswa Malaysia yang belajar disana dianiaya oleh kumpulan berkenaan setelah saya menghubungi rakan mahasiswa di beberapa universiti di Indonesia melalui mail dan ruangan sembang. Namun di sebalik peristiwa ini saya lebih suka melihat ianya berpunca daripada agenda Yahudi yang mahu melihat umat Islam berpecah belah. Bangkitlah wahai umat Islam. Sweeping Yahudi saya rasakan lebih wajar dari Sweeping sesama umat Islam dek kerana tarian yang jelas bertentangan dengan Ajaran agama. Pelancongan, pelabur, pelajar, pekerja antara kedua-dua negara akan terkesan jika berterusan mengfitnah antara satu sama lain.
.
Realiti di Malaysia rakan-rakan serumpun dapat hidup aman damai mencari rezeki di bidang masing-masing. Majoritinya sebagai buruh binaan. Di USM juga saya bangga rakan serumpun saya dapat belajar dengan mendapat penajaan daripada USM sendiri. Dijadualkan juga di USM akan diadakan persembahan kebudayaan daripada pelajar Indonesia sendiri dan tarian Pandet akan dipersembahkan . Amat beruntung pelajar Indonesia di sini yang mendapat penajaan berbanding masih ramai lagi rakyat Malaysia sendiri yang memohon tetapi gagal memperolehinya. Ada juga rakan serumpun saya mendapat jawatan pembantu penyelidik yang bergaji RM 1000 di USM ini jika di tukarkan kedalam mata wang rupiah berjuta-jutalah jawabnya. Pengaliran wang yang cukup besar nilainya ini memberi keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Indonesia sendiri. Jangan hanya kerana tarian dan irama kita gadaikan dan nafikan kebaikan jiran tetangga. Ingatlah Malaysia-Indonesia kita serumpun.
.
"Tidur sebantal mimpi lain-lain"
:: Disebalik serumpun ada agenda tersembunyi

10 September 2009

:: Pelik tapi benar di Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Sekejap rasanya masa berlalu pantas sekali, hari ini bermulalah countdown untuk sama-sama memburu Malam Lailatul Qadar. Malam yang penuh kebertan. Yang mana jelas diterangkan dalam surah Al-Qadr yang mengandungi 5 ayat.

.
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar"
"Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam LAilatul-Qadar itu?"
"Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan"
"Pada malam itu, turun malaikat Jibril dengan izin tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut);"
"Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar"
.
InshaAllah marilah sama-sama berazam untuk mencari dan menerokai nikmat malam Lailatul-Qadar ini. Namun di dalam mengharungi keberkatan Ramadhan masih ada lagi perkara dan amalan kita yang PELIK tapi BENAR. Seharusnya hormatilah bulan yang penuh keberkatan ini.
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN tidak menunaikan solat
.
PELIKKAN ada juga yang pergi berbuka puasa di masjid NAMUN tidak menunaikan solat berjemaah tanpa alasan
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN masih lagi menunggang motorsikal dengan bukan mahram kesana-kesini
.
PELIKKAN ada yang pergi ke masjid untuk bersolat NAMUN tidak menjaga batas pergaulan dengan pasangan bukan mahramnya semasa hendak kemasjid dan pulang
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN di perpustakaan bergelak ketawa besar dengan bukan mahramnya
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN ke kelas berpakaian tidak menutup aurat
.
PELIKKAN ada yang mengaku berpuasa NAMUN mengumpat sini sana
.
Begitulah antara coretan saya sepanjang memerhatikan keadaan di perantauan ini. InshaALLAH sama-sama lah berdoa supaya diberikan kekuatan dan dijauhi segala perkara yang boleh menjejaskan pahala puasa kita. InshaALLAH juga moga puasa kita tahun ini lebih baik dari puasa-puasa pada tahun sebelumnya.
.
"Balik kampung 18hb malam"
:: Menghati Ramadhan di perantauan

31 August 2009

:: Apa erti kemerdekaan

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Tanggal 31 Ogos 2009 sekali lagi muncul di permulaan Bulan yang penuh keberkatan iaitu RAMADHAN. Maka hari ini genablah Malaysia merdeka selama 52 tahun. Penuh ranjau yang ditempuh semasa memperjuangkan MERDEKA di kenangkan kembali dalam pelbagai cara dan peristiwa. Tidak lain tidak bukan untuk melahirkan rasa syukur dalam hati kita bahawa nikmat kemerdekaan yang wujud selama ini amat besar nilainya. Membina memang sukar berbanding untuk memusnahkannya. Bagi saya apakah erti kemerdekaan yang sebenar. Terpulang kepada individu untuk mentakrifkannya. Barulah merdeka.
.
Di Universiti Sains Malaysia kampus INDUK, sambutan diadakan secara besar-besaran dengan dimulakan dengan solat hajat dan juga bacaan surah Yassin di Masjid. Selepas itu kemuncak sambutan dimulakan dengan Solat ISYAK secara berjemaah dan Solat sunat TARAWIKH yang diimamkan oleh Ustaz Syakir. Alhamdulillah sambutan berjalan lancar. Tidak ada bunga api dan tidak ada perhimpunan besar-besaran diadakan saya difahamkan. Semua sudah memadai dengan kaifiat TARAWIKH yang dilakukan secara berjemaah. Penuh Masjid semalam Alhamdulillah. Cuaca juga baik. Makanan berbuka pun sedap.
.
Dalam keseronokan menyambut hari kemerdekaan Malaysia, seperti biasa saya menghubungi rakan-rakan dalam ruangan sembang di Malaysia. Mereka semua gembira dan bangga menjadi rakyat MALAYSIA. Tetapi ada juga sahabat dari negara jiran INDONESIA yang tetiba melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa isu melibatkan MALAYSIA-INDONESIA. Namun saya cuba bernagotiasi dan menyelesaikan dengan penuh behemat. Perlu diingat MALAYSIA-INDONESIA hampir sama dari segenab aspek meliputi budaya, makanan, cara hidup, agama dan banyak lagi. Isu-isu sensitif yang ditimbulkan sikit sebanyak membuatkan saya kecewa dengan rakan serumpun namun saya yakin hanya segelintir sahaja yang berpendapat sedemikian. Mungkin juga sensasi media yang amat mencemburui MALAYSIA.
.
Di kesempatan ini juga saya juga ingin melahirkan rasa syukur yang amat sangat kepada tuhan kerana saya dilahirkan di MALAYSIA. Walaupun generasi pasca MERDEKA, namun tanggungjawab kepada saya amat besar untuk memastikan nikmat MERDEKA ini akan terus dikecapi untuk generasi seterusnya. Panjatkan doa dan lipatkan usaha mendaulatkannya pasti akan kecapi kejayaan. Jalur gemilang jadi lambang mercu tanda kita rakyat MALAYSIA. Semoga MALAYSIA akan terus berada di bawah rahmat ALLAH SWT dan kesudahan yang baik bagi seluruh umat MALAYSIA. Sama-samalah kita menjadikan MALAYSIA sebuah negara yang terbaik di kalangan yang terbaik.
.
ALHAMDULILLAH, SAYA BANGGA JADI RAKYAT MALAYSIA
.
"MERDEKA-laungan keramat"
:: Al-Fatihah untuk pejuang KEMERDEKAAN

29 August 2009

:: Ramadhan di Perantauan

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Cepat betul masa berlalu. Hari ini sudah 7 Ramadhan 1430H. Genab seminggu kita berpuasa. Memang tahun ini merupakan puasa yang amat bersejarah dalam hidup saya. Bermula dengan hari pertama saya terpaksa bersahur di tengah-tengah hutan Gerik Perak akibat bas yang saya naik rosak. Banyak pengalaman ditimba pada malam itu apa yang menariknya ingin sangat saya kongsi. Pertama penumpang bas itu terdiri daripada semua kaum Melayu, Cina dan India serta 2 orang mat saleh dan 2 orang tok arab ngan 2 orang pak indon. Ada baby, ada dak sekolah ada mak cik semua peringkat umur ada. Macam 1 Malaysia lak. Bas yang saya naiki dari Kelantan ke Penang tetiba berhenti di tepi sebuah hutan yang gelapnya tidak dapat saya bayangkan. Cuma cayaha bulan dan bintang sahaja jadi peneman. Bas tidak ada pilihan selain berhenti kerana kipas enjinya rosak. Kebetulan telefon tidak ada line. Makin kalut dibuatnya. Namun saya yakin dan percaya bahawa ada hikmahnya.
.
Dalam kekalutan di tengah-tengah hutan jam jelas menunjukkan angka 2 pagi. Mujurlah dahulu semasa di USM kampus kesihatan saya pernah mengikuti kursus yang mempunyai modul kembara malam dalam hutan.heheh. Pemandu pun tidak ada idea untuk menyelesaikan masalah terpaksa kami semua tunggu dalam hutan. Hubungan antara kami semakin erat walaupun kali pertama berjumpa. Kita dapat berbual bertegur sapa berkongsi makanan dalam sebuah bas yang sama dalam pelbagai ras dan agama. Sungguh unik sekali. Tepat jam 5 pagi kami semua bersahur bersama-sama dengan roti dan air kotak.
.
Malam yang penuh bersejarah jadi cepat. Sambil2 berbual di tepi hutan bersama rakan-rakan tidak sedar jam sudah pagi. Pemandu bas memberitahu mekanik akan datang jam 6.30 pagi. Tunggu punya tunggu jam 7.30 baru sampai. Tika itu masih gelap. Alhamdulillah berkat 1 Ramadhan tahun ini akhirnya bas yang saya naiki berjaya di baiki tepat jam 9 pagi. Saya tiba di USM Pulau Pinang jam 2 petang. Walaupun penat detik-detik itu tidak akan saya lupa.
.
Ramadhan kali ini amat berbeza bagi saya kerana tahun ini saya tidak sempat langsung bersahur dan berbuka di rumah kerana tiket pulang untuk hari raya telah habis dijual dan hanya ada pada malam raya. Tiada pilihan saya terpaksa tiba di pagi raya. Sedih mengenangkan nasib saya namun inilah yang mendewasakan kita. Pengalaman di negeri orang. Di sini tiap-tiap hari berbuka di Masjid USM kerana ada hidangan percuma dan mudah untuk terus bertarawikh. Kehadiran Ustaz Syakir sedikit mengubat kerinduan kepada negeri tercinta dan juga kampus kesihatan. Hampir seminggu ustaz di sini.
.
InshaAllah pengalaman yang tidak akan saya lupa ini akan saya abadikan dalam benak hati saya dan pasti dan pasti hikmahnya tentu ada.
.
"Ramadhan di perantauan;satu sejarah"
:: semoga ustaz Rosdian cepat sembuh dari kemalangan