21 December 2008

:: Kampus dan Hendonisme

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Alhamdulillah saya selamat tiba di kampus pagi tadi. Tidak dapat digambarkan kerinduan kepada kampus Universiti Sains Malaysia ini. Azam dan cita-cita terus ditanam moga-moga apa yang didapati hasil daripada pembentangan dan dialog di Tokyo tempoh hari dapat dikongsi bersama. Insha-Allah dalam masa terdekat saya akan menyiapkan laporan lengkap sepanjang program tersebut.
.
Petang yang dingin membataskan aktiviti pelajar kampus yang rata-ratanya gemar berjoging mengelilingi padang golf USM. Rakan-rakan golfer masih belum pulang dari AUG, jadi petang yang dingin diisi dengan rehat yang secukupnya.
.
Kunjungan rakan-rakan kaum India amat membuatkan saya terharu. Mereka menunjukkan sikap yang mulia iaitu menziarahi saya dan bertanyakan pengalaman di Jepun tempoh hari. Suasana sebegini sebenarnya harus dipupuk oleh masyarakat di Malaysia keseluruhannya. Sempat lagi mereka mempromosikan Malam Kebudayaan India mereka kepada saya. Lalu ditanyakan soalan Hendonismekah ITU??
.
Terkejut saya mendengarkan soalan yang pelik itu. Barulah saya faham mengapa soalan itu ditanya. Apabila saya melihat poster HIJAU yang ditampal di blok-blok. Saya menjelaskan konsep Hendonisme yang sebenar kepada mereka. Mereka tertanya-tanya dan mereka mula menujukkan perkembangan yang positif memahami konsep Hendonisme yang sebenarnya. Adakah Malam Kebudayaan India yang bakal diadakan termasuk dalam Hendonisme?? Eloklah mereka merujuk kepada yang pakar dalam mengupas konsep ini. Saya tersenyum panjang usikan kawan saya itu.
.
Isu Hendonisme ini merupakan isu yang selalu menjadi bualan ramai. Bukan sahaja di dalam kampus juga masyarakat di luar. Dengan niat yang ikhlas dan hati yang suci dan juga niat untuk menyeru makruf, tidak salah untuk menjelaskan maksud ini. Apa yang diminta jangan cuba mempolitikkan konsep ini. Menuduh pihak-pihak tertentu menyokong konsep ini. Pendekatan menghukum dan menyalahkan amat-amat tidak setuju dari persepsi saya. Sama-samalah kita memperingati dan bijaksana dalam tindakan.
.
Kewujudan kempen sebegini seharusnya dipergiaatkan dan mungkin boleh diperluaskan kepada golongan sasaran seperti pelajar sekolah dan juga remaja masyarakat setempat. Bersesuaian dengan keadaan dan raliti mentaliti remaja masa kini.
.
Mungkin boleh dikongsikan pengalaman di Jepun, gerakan mahasiswa di sana tidaklah begitu hebat seperti di Indonesia. Rata-rata pelajar di Jepun tidak mengambil kira tentang perkembangan politik yang berlaku di tanah air mereka. Mereka juga tidak suka berpolitik. Malahan apa yang menarik nisbah pelajar di Universiti adalah pelajar perempuan ketinggalan berbanding pelajar lelaki, tidak seperti di Malaysia. Namun dari degi amalan dan kehidupan mereka jauh kedepan berbanding kita. Mereka mengakui bahasa Inggeris mereka lemah berbanding kita namun mereka berusaha untuk bersaing dengan masyarakat barat. Saya juga sempat melawat perpustakaan di Univesiti Meijin. Semua cabang ilmu terdapat bahan bacaannya sehinggakan buku-buku barat diterjemahkan kedalam bahasa Jepun. Bagi tujuan penyelidikan. Tujuh tingkat perpustakaan penuh dengan buku dan rujukan semuanya dalam bahasa Jepun. Dari degi kehidupan mematuhi masa, kebersihan, kemesraan dengan pelancong, disiplinnya amat saya kagum dengan masyarakat di sana. Moga-moga apa yang baik dapat kita praktikkan di Malaysia.
.
Kampus nampak semakin meriah kerana rakan pelajar PPSK mula kembali dari bercuti. Tidak sempat untuk saya melawat tapak-tapak pembinaan Pusat Mahasiswa, Dewan Kuliah, Pejabat Pengarah Kempus dan Kafeteria kerana amat keletihan tadi. InshaAllah jika diberikan kesempatan akan saya ungkaikan dalam kata-kata akan datang.
.
:: Dengki kepada disiplin orang Jepun
"Yang baik jadikan amalan, buruk jadikan sempadan"

17 December 2008

:: Yokohama Green Policy

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Alhamdulillah,,sudah tamat sudah rombongan kami ke Universiti-universiti di Jepun. Esok kami akan menghabiskan masa di Disney Wonderland di Tokyo. Not just for Fun. Itulah pesanan peensyarah pengiring kami. Yang jelas beliau amat berpuas hati dengan segala yang dipersembahkan sepanjang lawatan dan pembentangan kertas kerja kami sepanjang program di sini.
.
Sedikit untuk dikongsi tentang polisi yang diamalkan oleh kerajaan di Yokohama adalah mereka amat mementingkan tentang kelestarian kehidupan di daerah tersebut. Penduduk dikhendaki membayar sendiri cukai bagi pengangkutan barang bunangan yang dipungut daripada rumah mereka. Tetapi mereka terlebih dahulu dikhendaki untuk mengasingkan barang buangan mereka kepada 10 kelas yang telah ditetapkan. Seperti pakaian, kertas, plastik, label plastik, tudung botol, kaca, barang mudah terbakar, barang susah terbakar dan juga barang buangan yang besar.
.
Begitulah prinsip yang diamalkan oleh kerajaan di sini. Selepas itu kami juga dibawa melawat ke Meijin Universiti yang juga terletak di Tokyo. Kami diberikan syarahan yang hebat dan teperinci oleh Profesor di sana dan kami berpeluang untuk berdialog tentang pembangunan lestari mereka. Pengalaman berdialong amat unik dan kami sempat juga berinteraksi dengan pelajar-pelajar Master dan PHD di seluruh Asia Tenggara dan berkongsi idea kearah pembangunan kelestarian mereka.
.
Masa untuk membeli belah tidak pernah dilupakan tetapi harga barangan disini cukup mahal dan tidak seperti indah yang dikhabarkan oleh rakan-rakan. InshaAllah cukup untuk setaip orang. Huhu.
.
Makanan di sini rata-ratanya amat sukar bagi muslim dan hanya sesetengah kedai sahaja yang boleh dinikmati. Seungkai kata untuk dikongsi pada malam ini ialah GOKKAI=no waste
.
:: Belajar dari Jepun
"tidak jemu untuk belajar"

:: Coretan Yokohama

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Alhamdulillah pagi di tokyo di hari ketiga sungguh nyaman. Seperti biasa berlari-lari manusia bergegas ke tempat kerja, sekolah, ataupun kedai masing-masing. Budaya sebegini tidak lekang lagi dalam masyarakat jepun, dari dulu sampai sekarang. Pengembaraan ilmiah diiteruskan lagi ke bandar Yokohama yang letaknya lebih kurang 50 minit dari tokyo. Pengangkutan awam terus menjadi tumpuan untuk kemana-mana.
.
Setibanya di Yokohama, kami dibawa melawat bagaimana kerajaan Jepun menggunakan sepenuhnya bumi ini untuk menjana tenaga. Teknologi Denmark telah menarik banyak syarikat-syarikat terkemuka di Jepun untuk menghasilkan satu kincir angin yang cukup hebat setinggio hampir 160m dari muka bumi. Sehingga mampu mebekalkan tenaga kepada hampir 200 buah rumah di yokohama. Begitulah kreatifnya masyarakat di sini. Tetapi mereka mula mengkaji faktor kedudukan kincir angin tersebut.
.
Selepas itu kami di bawa melawat sekitar bandar yokohama dan juga Universiti Ferris juga di Yokohama. Begitulah setiap kali kami dibawa ke universiti para pelajarnya amat peramah dan melayan saya dengan begitu mesra sekali. Ini membuatkan saya cukup selesa dan tidak bimbang untuk hidup disini, suatu hari nanti.
.
Kepenatan yang dirasakan dikalangan pemimpin pelajar jelas dilihat apabila hampir semuanya tidur dalam keretapi. Sungguh menarik pengalaman hari ini. Semoga kita dapat berkongsi lagi nanti, InshaAllah.
.
"Pengalaman tidak ternilai"
:: Seungkai kata untuk dirasa

15 December 2008

:: Masa itu emas

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
.
Mencabar dan cukup mengkagumkan. Itulah yang dapat saya katakan sepanjang hari ke 3 berada di jepun. Memang segalanya cukup menarik. Amat rugi jika saya menolak tawaran ini. Suasana hari bekerja di jepun sungguh hebat. Berkejaran kesana-kesini tanpa menghiraukan orang lain cukup menarik. Sekecil-kecil anak muda sehinggalah orang tua mereka amat patuhi masa dan bersungguh dalam membuat kerja.
.
Amat malang sekali kamera digital saya mengalami masalah dan saya telah terlepas bagaimana kesibukan rakyat jepun ini bergegas ke tempat kerja atau ke sekolah dengan laju dan bersemangat sekali. Mereka tidak malu untuk berlari ke sana-sini mengejar train mereka. Semua rakan pemimpin pelajar terkejut apabila melihat gelagat mereka. Sungguh luar biasa. Ketibaan train yang tepat ada masanya turut menjadi tanda tanya dan impian kami semua rakyat Malaysia.
.
Perjalanan kami ke Waseda University cukup menarik. Setibanya di Universiti yang pernah menjadi tempat Prof Engku Aziz ini cukup gah dengan segala insfrakstruktur dan kualiti graduan yang mereka hasilkan. Prof disana amat mesra dan beliau telah membayar makanan tengahhari kami yang amat enak sekali. Terima kasih prof. Kepada rakan baru saya YUMI, cukup baik layanan yang diberikan dan mungkin saya tidak terdaya membalasnya. Begitulah orang jepun yang sangat menghargai tetamu bukan sahaja manusia malahan mereka juga mengatakan kita harus berbuat baik juga dengan semua makhluk di bumi ini. Pengalaman di dalam train juga menarik yang mana keadaan yang senyap di dalamnya membuatkan kami selesa dan tenang. Kelihatan kebanyakkan mereka mengisi masa mereka dengan membaca buku dan ada juga golongan muda yang selalu dengan gadjet mereka tanpa hentil.
.
Rombongan kami seterusnya ke Yokohama Universiti yang sangat jauh dari tokyo. Di sana kami berpeluang bergaul dengan pelajar di sana dan menghadiri satu jamuan yang cukup menarik. Penuh mesej yang cuba disampaikan. Dengan memperkenalkan ecopack mereka, mereka amat tertarik dengan keunikan budaya dan bagaimana keharmonian kita kecapi di Malaysia. Mereka kagum bagimana masyarkat Malaysia mampu menggunakan satu bahasa sahaja untuk berkomunikasi di negara kita sedangkan terdiri daripada banyak kaum dan bangsa serta berlainan budaya.
.
Rombongan nampak penat dan esok perjalan masih lagi jauh. Banyak lagi misi dan visi universiti belum direalisasikan.
.
:: Kayabacho, Tokyo, 2248, 15 Dis 2008
"Hargailah masa kerna masa itu emas"

14 December 2008

:: Kelestarian dari kaca mata tokyo

Bismillahirrahmanirrahim.
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Alhamdulillah saya selamat sampai di bumi Tokyo,kayabacho, JEPUN. Banyak yang dapat dipelajari dari mula perjalanan. Sehinggalah THAI AIRWAYS mendarat di Narita Airport tempoh hari. Walaupun kali pertama dan hanya seorang sahaja rakan pemimpin pelajar dari kampus kesihatan, hati pastinya terasa sayu dan sepi tanpa rakan di sisi. Pengalaman menaiki Thai Airways cukup memikat hati dengan layanan dan peramahnya pembantu kapal terbang tidak putus2 menjamu pelanggannya. Alhamdulillah dan setinggi2 terima kasih diucapkan.
.
Jelas seperti yang dijangka, suasana dan keadaan di tokyo jauh berbeza dengan kehidupan kita di Malaysia. Rindu rasanya kampung halaman, di kelantan. Tetapi demi tugas, misi dan visi yang masih lagi belum tamat, akan ku tempuh dengan hati yang tabah.
.
Program pengisian bermula hari ini. Dengan cuaca 8 darjah celcius ditambah pula dengan hujan kami semua cekal meredah hujan menuju ke stesen kretapi yang menjadi pengankutan utama di sini. Ketepatan dan kecekapan perkhidmatannya cukup mengkagumkan saya. Tepat semua waktu ketibaan dan perlepasan ke destinasi sebagaimana jadual yang terpampar megah di dinding stesen. Dari situ benak fikiranku mula terfikir, tidak mustahil negara Malaysiaku tercinta akan berupaya menandingininya suatu hari nanti InshaAllah. Dalam gerabak keretapi disediakan ruang khas untuk golongan tua, perempuan bersalin, dan orang kelebihan upaya. Walau apa cara sekalipun rungan itu tetap dihormati walaupun tidak wujud golongan yang sepatutnya dalam gerabak pada satu2 masa. Saya mengaguminya dan tetap yakin dan percaya kita harus menyainginya.
.
Setibanya kami di Uniten Nation Universiti, kami diperdengarkan dengan tiga buah syarahan yang cukup membuatkan kami terpegun dengan tahap pemikiran oleh penceramah. Betapa majunya negara mereka dalam memastikan kelestarian bumi kita ini mendapat pecutan yang maksima seiring dengan pembangunan dan kemodenan.
.
Penceramah yang pertama telah menjelaskan bagaimana teori dan kesan daripada peningkatan suhu dunia yang melihat dari kaca mata agropolitan dan pertanian. Tidak pernah saya fikirkan bagaimana dari sekecil2 perkara itu dilihat sehingga kepada kesan yang cukup besar kepada bumi. Penceramah menjelaskan bagaimana komposisi gas yang berada di sekeliling terganggu boleh menyebabkan tumbuhan tumbuh secara abnormal dan mengganggu ekosistem kita. Cukup terpegun saya melihat contoh2 yang diberikan. Tidak cukup dengan gambar, disertakan juga dengan kajian2 yang dibuat. Memang satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
.
Muncul seorang lagi penceramah dengan tajuk zero emission dan kelestarian masa depan sekali lagi meletakkan fikiran saya di tahap yang lebih tinggi. Cara pemikirannya langsung tidak sama dengan saya yang kerdil ini. Mereka telah memberikan corak pemikiran yang baru kepada kami dengan mengajak untuk menghargai setiap keadaan dan peluang di bumi ini. Semua akan diubah untuk menlestarikan bumi. Hebat dan tidak terdaya saya memikirkannya sebelum ini.
.
Sesi berdialog dengan penuntut Universiti di sini sangat manis. Tidak putus2 tunduk hormat kepada kami. Rimas juga dibuatnya. Sikat hormat menghormati amat tebal dan sebati dalam hidup mereka. Tidak dinafikan kejelitaan penuntutnya cukup menawan hati saya. InshaAllah akan ku tarbiahkan mereka suatu hari nanti. Walaupun segan dan terpesona setiap patah yang keluar tidak langsung menghampakan saya. Bernas juga setiap cadangan dan pandangan dilontarkan.
.
Walaupun begitu mungkin uniknya kita di Malaysia, kita berupaya memahami bahasa Inggeris dengan baik dibandingkan dengan mereka yang cukup terbatas kemahiran ini. Satu pujian juga harus diberiakan kepada pihak kerajaan yang berusaha memartabatkan Malaysia seiiring dengan perkembangan dunia masa kini.
.
Sesi yang ketiga diteruskan dengan ceramah oleh seorang lagi pemikir yang menekankan konsep dan budaya masyarakat jepun kini yang mengganggap kedai one stop center sebagai keperluan yang amat terdesak. Boleh dikatakan setiap masyarakat di sini akan singgah di kedai One stop center ini untuk mendapatkan barang2 keperluan mereka. Bahkan mereka juga boleh membayar bil, membeli tiket dan banyak lagi perkara untuk kehidupan mereka. Ini cukup merisaukan pendidik di Jepun. Mereka cuba melihat kelestarian itu dalam konteks mengatasi masalah ini. Mereka di sini lebih gemar memakan makanan di kedai tersebut berbanding makan makanan masakan di rumah mereka.
.
Jelas ini amat bertentangan dengan budaya kita di Malaysia. Walaupun begitu inilah uniknya Malaysia. Penuh keharmonian dan adap resam ketimuran kita masih lagi menebal jika hendak dibandingkan.
.
Di sini, walaupun banyak dugaan yang jelas menguji iman saya, InshaAllah doakan saya dan rakan2 supaya sentiasa dibawah payung kerahmatan dan hidayahnya. Coretan Kayobacho,Tokyo saya tamatkan dengan sebuah rangkap yang saya timba di sini.
.
:: Kayabacho, Tokyo, 2236, 14 Dis 2008
"Hiduplah dibumi ini bersama makhluk2 lain"