18 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part 5)

Bismillahirrahmanirrahim 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. Kali ini pula saya berkongsi mengenai aktiviti ziarah luar, sekitar Masjid Nabawi. Kami bergerak dalam kumpulan dibimbing oleh Haji Mutawif kita, seorang yang berpengalaman, manakan tidak, boleh dikatakan Haji sebulan sekali membawa jemaah bergilir-gilir. Kebetulan semasa giliran kami, Haji memaklumkan akan stay di Mekkah dan Madinah sebulan sebelum kembali ke tanah air, untuk menguruskan group jemaah seterusnya. Subhanallah, Tabarakallah. Tiada tempat yang terbaik selain Mekkah dan Madinah yang penuh keberkatan.


2. Kami semua selepas sarapan di hotel, berkumpul di lobi. Dalam jemaah kami ada yang berkerusi roda, kami membantu antara satu sama lain. Kami bermula di pintu 15 iaitu hanya 50m dari Hotel Elaf Taiba yang kami inap. Depan sahaja hotel kita boleh lihat tapak pembinaan yang dahulunya merupakan tapak pasar. Kini rancak dibangunkan, tidak pasti apa yang mahu didirikan. Di belakang pasar tersebut ada satu taman, menurut Haji disana merupakan tempat yang paling subur di Madinah, iaitu Saqifah Bani Sa'idah (سقيفة بني ساعدة).

3. Menurut Haji Mutawif, disana merupakan tempat sahabat bermesyuarat untuk memilih pemimpin setelah wafatnya Rasulullah SAW. Di sana tempat berlakunya baiah untuk melantik Saidina Abu Bakar menjadi pemimpin menggantikan Rasulullah SAW. Juga di sana jugalah tempat bermesyuarat untuk memilih tempat memakamkan Rasulullah SAW setelah wafat iaitu di Madinah. Kita boleh lihat pokok kurma dan tumbuhan hijau yang masih segar. Difahamkan juga tempat tersebut telah ditutup kepada umum oleh kerajaan Arab Saudi. rujuk web wikipedia untuk lebih detail (sini)

4. Seterusnya kami terus berjalan menuju ke pintu depan sebelah Muzium yang masih dalam pembinaan. Besar muzium ini. Haji menunjukkan kepada kami Masjid Saidina Ali. Location google. Rasulullah SAW pernah bersolat disitu. Kami hanya lihat dari jauh sahaja. Dekat dengan Masjid tersebut ada juga Masjid Al Ghamamah, iaitu tempat Rasulullah SAW solat sunat Istisqa' (minta hujan). Subahanallah indahnya, rasa rindu pada Rasulullah SAW semakin menebal. Sambil Haji Mutawif bercerita, sebak rasa, kasihnya Rasulullah SAW pada umatnya. 

5. Kami berjalan kedepan sedikit, untuk melihat Masjid Abu Bakar, sekarang dihimpit bangunan hotel yang baru dibuat. Haji Mutawif memaklumkan berlaku sedikit perbincangan bilamana kerajaan Arab Saudi ingin merobohkan Masjid tersebut atas alasan pembangunan dan elak aktiviti khurafat. Namun ditentang hebat oleh ulamak Saudi, lalu tidak diroboh. Masih kelihatan kubah putih Masjid Abu Bakar.
(masjid Abu Bakar)

6. Ada juga pasar kurma di depan sana, kami tidak pergi, dan berpatah balik ke Masjid Nabawi. Sambil berjalan Haji Mutaqif ada memberi satu teka-teki menarik mengenai Telaka Ha (siapa dapat jumpa lokasi Telaga Ha akan diberi hadiah) hehe, usaha kami para jemaah mencari. Ada pemenang, siap selfie lagi dengan tempat tersebut.

7. Kami kembali ke Masjid Nabawi dan kita boleh lihat Kilang Mencetak Al-Quran di bahagian depan pintu masuk tadi. Petugas masjid menyapa kami dan memanggil lalu mengedarkan buku, bahan bacaan kepada kami secara percuma ada dalam bahasa Melayu ada juga Bahasa English. Kami berjalan melewati depan Masjid Nabawi. Kelihatan Kubah Hijau yang mana letaknya Makam Rasulullah SAW dan sahabat di bahagian dalam Masjid. Banyakkan berselawat dan bagi salam kepada Rasulullah SAW. 

8. Kami meneruskan lagi ziarah sehingga ke perkuburan Baqi. Di sana ramai menggelarnya sebagai Jannatul Baqi. Meninggal di Madinah akan dikuburkan di Perkuburan Baqi InsyaAllah wajib syafaat Nabi SAW. Allah huakbar!! Di dalam kawasan kubur ramai askar yang bertugas, ada yang bercota, pakaian berlainan dengan askar dalam kawasan Masjid. Di fahamkan mereka mengawal untuk mengelakkan jemaah melakukan aktiviti khurafat seperti mengambil tanah kubur, bersolat atas kubur dan sebagainya. Maklumlah ramai orang bermacam ragam manusia. Bacalah papan tanda yang diletakkan di depan perkuburan baqi, menunjukkan adab ziarah, dan salasilah keluarga Rasulullah SAW





9. Di bahagian depan kanan adalah letaknya makam Zaujah-zaujah Nabi, ada bahagian sahabat dan suhada, dan di tengah-tengah kira-kira 150m, dari pintu masuk letaknya makam Saidina Othman, ada askar juga mengawal. Hanya jemaah lelaki sahaja dibenarkan masuk ke dalam kawasan perkuburan.

10. Kami berjalan di luar kawasan perkuburan dan mengaminkan doa yang dibacakan oleh seorang sheikh yang bekerja sebagai pembaca doa di bahagian tepi perkuburan baqi. Walaupun jemaah perempuan tidak dibenarkan masuk, ada pagar cermin dan boleh dilihat dengan jelas dari tepi. Difahamkan juga Raja Arab Saudi yang mangkat tempoh hari juga disemadikan disini. Hanya batu sahaja tidak ada binaan seperti perkuburan diraja lain. Subahanallah

11. Selepas penat berjalan, Haji Mutawif mempelawa kami untuk ke kedai favouritenya jika ke Madinah, katanya nasi arab kambing dia terbaik. Letaknya di bahagian bawah hotel ansar new palace. Di tepi restoran ada kedai Ahmad Albab, boleh beli kurma, kacang dan coklat. Nak makan situ pun boleh Halal katanya. Sempat saya borong 6 kilo kacang pistachio buat santapan 6 beradik kami, setiap orang satu kilo, harga gred A hanya RM 60 sahaja. Free gift pun dapat. Paling best lagi tak payah bawak, Ahmad Albab bayarkan teksi, dia hantar terus ke lobi hotel. Hehe, bagus Ahmad Albab ni.
 
(saya, emak, cik, ayoh chik, dan siti, anas amik gambar)


17 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part 4)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


1. Setibanya kami di Madinah Munawarah, Haji Mutawif telah membahagikan bilik, untuk kali ini saya sebilik dengan Bapa Saudara, Sepupu, dan Haji Mustapha, juga Haji Safwan (Mutawif). Alangkah bertuahnya bila sebilik dengan Haji Mutawif, apa lagi segala pengalaman tips, soalan kita tanya sampaikan Haji Mutawif nak berehat pun terganggu. Alhamdulillah Haji Safwan (Mutawif) walaupun muka serius namun tidak lokek berkongsi pengalaman.  

2. Kami bersiap dengan pantas memandangkan lebih kurang 50 minit lagi Azan Subuh. Kebetulan pula hari kami tiba hari Jumaat. Jumaat dan Sabtu adalah cuti umum bagi Arab Saudi, ramai jemaah yang datang (hari biasa pun ramai), sebaik sahaja azan maka kita akan melihat berbondong-bondong jemaah ke Masjid, yang kecil, yang dewasa, yang berjalan, yang berkerusi roda semuanya menuju KEJAYAAN. Rebutlah pahala bersolat di saf depan bersama Imam, mendapatkan takbiratul Ula, menunaikan solat sunat sebelum Subuh, banyak manfaatnya. Bagi orang-orang yang mahu mendapatkannya, beruntunglah.





3. Solat di Masjidil Nabawi sangat indah, apatah lagi Jasad Rasulullah SAW ada bersama di penjuru kiri masjid (jika berdiri mengadap kiblat). Imamnya pula yang dulu hanya pernah mendengar di CD, kini dapat dilihat dengan mata ini juga alunan sama tidak ubah sedikit. Allah huakbar, perasaan ini sukar digambarkan, ketenangan, syukur merasai nikmat ini.

4. Muazzin di Masjid Nabawi berada di atas platform, manakala Imam pula akan bersolat di Raudhah. Saf kedua kelihatan beberapa orang askar di belakang Imam dan akan ada juga beberapa orang berkawal semasa solat.

5. Setelah selesai solat fardhu di sini, Biasanya (jika ada yang meninggal akan disolatkan setiap selepas solat fardhu, pernah juga suatu hari selepas Solat Zohor saya perasan tiada solat Jenazah di buat, bila saya bertanya kepada Haji Mutawif dia maklum tiada jenazah pada masa tersebut).

6. Imam akan ke mimbar bahagian depan, sementara jenazah di letakkan di dalam bilik bahagian depan Masjid Nabawi. (boleh lihat di bahagian luar masjid, petugas memindahkan jenazah masuk/keluar dari pintu tersebut). Belajarlah solat Jenazah, besar manfaatnya, lebih lebih lagi bersolat di Masjid Nabawi.

7.  Saya mengambil kesempatan untuk tidak terus balik ke bilik biarpun baru tiba perjalanan berjam-jam, gunalah peluang ini, saya menuju ke Pintu Babusalam (pintu 1), pintu ini dibuka 24 jam untuk ziarah Rasulullah SAW, dengan rasa rendah diri, malu, gembira, kaki melangkah masuk sambil perbanyakkan selawat kepada Rasulullah. Berilah salam kepada Rasulullah SAW, berdoa supaya mendapat syafaat Nabi, banyakkan selawat. Di depan makam Rasulullah SAW ada juga askar yang mengawal pergerakkan jemaah supaya tidak berlaku kesesakan. Askar juga melarang jemaah yang cuba 'meratapi' di depan makam Rasulullah SAW.



8. Ada juga sheikh yang memberi penerangan dalam bahasa Arab, ada juga dalam bahasa Indonesia, mereka mengingatkan supaya amalkan Sunnah Nabi SAW, perbanyakkan selawat, solat berjemaah di Masjid dan banyak lagi. Anda juga boleh bertanya jika ada apa soalan kepadanya. Saya berkongsi pengalaman, bilamana Askar menyapa saya, Malaysia?, saya membalas Yes!, lalu dia menggapai bahu saya sambil menunjukkan Makam Rasulullah SAW di bahagian tengah manakala di sisi kiri dan kanannya kosong.

9. Alhamdulillah saya sempat merenung kedalam, untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, sheikh membantu iaitu sambil menunjukkan kedudukan Makam Rasulullah SAW, Makam Saidina Abu Bakar Ra, dan Saidina Umar Ra. Jangan putus berdoa dan bersalawat. Selepas beberapa minit Askar mengarahkan supaya bergerak keluar, Haji, Haji, Haji Khalas!! sambil menunjukkan ke arah pintu keluar. InsyaAllah azam saya setiap hari disini untuk menziarahi Rasulullah SAW.

10. Keluarnya dari masjid, kita akan dapat melihat Perkuburan Baqi di bahagian tepi Masjid Nabawi. Saya masuk semula ke masjid, rasa rindunya pada Rasulullah SAW, mana mungkin meninggalkan jasadnya di depan mata sahaja. Beriktikaf, membaca Al-Quran, sambil menunggu solat sunat Israk dan Dhuha selepas 30 minit, syuruk. Teknologi kini amat membantu, aplikasi Pro Muslim yang digunakan dapat menunjukkan waktu solat mengikut kawasan yang dilewati (GPS). Setelah selesai, saya pulang semula ke Hotel untuk sarapan pagi dan kemas barang.

03 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part 3)

Bismillahirrahmanirrahim  


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


1. Semasa di Lapangan terbang kami semua diarahkan untuk terus menunaikan Solat Maghrib Jamak dengan Solat Isyak. Selepas itu kami semua berkumpul dan membantu memasukkan beg Tiram travel ke bas yang telah menunggu di kawasan parking airport. Kebetulan kumpulan kami diuji dengan stroller salah seorang jemaah kami terpisah ke bagasi antarabangsa. Haji Mutawif terpaksa bergegas semula ke dalam dan membuat aduan. Alhamdulillah setelah 30 minit akhirnya kami berjaya mendapatkan semula stroller yang terlepas ke bahagian lain. Alhamdulillah

2. Bas yang membawa kami ke Madinah dipandu oleh seorang arab dari Sudan, tinggi berkulit gelap dan hanya boleh berbahasa Arab. Khalas? kami menjawab Khalas! Bas kami warna merah YUTONG syarikatnya. Kami difahamkan perjalanan dari Lapangan Terbang ke Madinah adalah selama 7 jam.

3. Setelah 3 jam perjalanan kami berhenti sebentar di RnR. Disana saya melihat ramai jemaah lain dari pelbagai pelusok dunia, yang datang menunaikan ibadah Umrah. Rasa kecil dan amat terharu. Haji Mutawif telah memesan nasi ayam yang ditempah dari D'Saji bersama air mineral dan buah epal. Semua ambil satu sorang dan makan di RnR. Lampu samar-samar dan suasana RnR tidak sama dengan Malaysia tentu sekali. Agak unik, tandas juga disediakan beserta surau. Kena beratur kerana kebetulan kami sampai penuh bas juga berhenti. Adat bermasyarakat.

4. Kami meneruskan perjalanan ke Madinah setelah 1 jam kemudian. Kami semua diuji sekali lagi bila perjalanan kami hanya tinggal 10-15km sahaja tiba di Tanah Haram Madinah, bas YUTONG kami tiba-tiba mengalami kerosakan. Saya perasan pada waktu itu, ada batu atau besi di jalan raya telah menghempap bahagian bawah bas. Kesannya tangki minyak hitam bas kami telah pecah. Bas terpaksa berhenti di tepi Highway dan tidak dapat meneruskan perjalanan.

5. Para Duyufurrahman nampak tenang, pemandu bas dan Haji Mutawif kami berusaha mengatasi masalah yang berlaku, akhirnya Haji Mutawif membuat pengumuman bahawa bas kami tidak dapat diperbaiki dan perlu menunggu bas lain yang akan datang membawa kami ke hotel di Madinah. Anggaran masa menunggu ialah 45 minit.

6. Selama menunggu bas lain tiba, Alhamdulillah semua jemaah sangat tenang, tidak ada yang merungut apatah lagi yang marah seakan semua faham ujian yang menimpa kami. Banyakkan bersabar dan beristighfar. Ada hikmahnya. Jam ditangan menunjukkan jam 3pagi, lagi 2 jam Azan Subuh di Madinah.

7. Setelah Bas baru tiba, kami semua lelaki bekerjasama memindahkan semua beg dan barangan ke bas lain, manakala jemaah  perempuan membantu jemaah yang uzur untuk ke bas yang lain. Tidak sampai 10 minit, kami selesai memindahkan semua barangan dan meneruskan perjalanan ke Madinah.

8. Setibanya di sempadan tanah Haram Madinah, mutawif kami Haji Safwan, membuat pengumuman dan memimpin bacaan doa memasuki tanah haram. Secara jujur saya sangat tersentuh, rasa syukur yang amat bila direzekikan ke sana. Sempat saya menoleh kepada ibu saya, kelihatan sugul menitiskan air mata tanda syukur. Dari dalam bas Haji Mutawif menunjukkan kepada kami hotel kami, amat dekat dengan Masjidil Nabawi, tidak kurang 50m dari pintu pagar 15. Alhamdulillah. 


9. Bila mana kami melihat kubah hijau Masjidil Nabawi, perbanyakkan selawat, berilah salam kepada Rasullullah, "Assalamualaika ya Rasulullah", berdiri bulu roma, rindunya bertemu kekasih Allah, ya Rasullullah. Kami menginab di hotel Elaf Taiba, 50m sahaja dari pintu no 15 Mas

10. Selepas sahaja kami check in bilik, terus bersiap untuk menunaikan Solat Subuh di Masjidil Nabawi. Suasana Subuh disana seperti solat Jumaat di Malaysia. Boleh dikatakan penuh dalam dan dataran Masjid. Kebetulan pula Jumaat adalah cuti mingguan Arab Saudi. Alhamdulillah kami sempat berjemaah Subuh pertama di Tanah Haram Madinah. Subuh kami diimakan oleh Imam Sheikh Al Hudhaifi. Sebiji macam kaset. Alhamdulillah 







02 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part2)

Bismillahirrahmanirrahim  


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. Alhamdulillah tarikh 14 Mac 2019, telah tiba. Suasana hiba makin terasa bila hari terakhir sebelum berangkat, saya mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan semua rakan pejabat, baik Pengajar, Tuan Pengarah, rakan pentadbiran, pengusaha kafeteria juga rakan Masjid Hospital Sungai Buloh. Mereka mendoakan kesejahteraan dan dipermudahkan urusan di sana. Sayu hati bila rakan-rakan doakan begitu, ada juga yang kirimkan doa, ada juga menghulurkan sedikit wang saku untuk kegunaan disana. Terima kasih semua.

2. Setibanya saya di KLIA, kami dikehendaki berkumpul di aras 5, perlepasan berhampiran kaunter H. Ustaz Safwan yang akan membantu kami check in sebagaimana dalam group wasap yang dibuat lebih awal. Segala maklumat dan komunikasi adalah melalui saluran group wasap. Kemudahan ini sedikit sebanyak membatu kami para jemaah.

3. Sebaik sahaja Ustaz Safwan sampai di airport, saya terus mendapatkan ustaz memperkenalkan diri dari mana dan membantu ustaz mengagihkan name tag, passport dan beg tag. Terkejut bila ustaz menggunakan kata ganti nama Haji kepada saya. Rupanya barulah saya faham iaitu kata-kata itu doa, panggilan yang baik, so kami gunakan Haji bagi jemaah lelaki dan Hajjah bagi jemaah perempuan.

4. Kami mula bekerjasama menyusun beg, meletakkan tag bag Umrah, dan terus mendengar taklimat yang disampaikan oleh Haji Safwan mutawif segak memakai Vest Tiram. Haji memaklumkan terus makan tengah hari sebelum check in dan solat Zohor dan Asar jamak terus di dalam bangunan perlepasan. Suasana bertambah hiba bila berpisah dengan ahli keluarga, sempat juga berpesan kepada keluarga, andai apa berlaku, biarlah di selesaikan disana, jangan bawak balik. Ma dan saya bersalam dengan cucu dan adik beradik terus melalui kaunter check in dan imigresen selepas makan di The Garden Food Court KLIA. Flight kami ke Jeddah pada jam 3 petang.

5. Berbekalkan semangat dan panduan Prof Kamil (Video Ceramah Umrah),  selalu ingat pergi umrah semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana Allah. 

6. Alhamdulillah pesawat kami tiba tepat pada masa dan bersama-sama jemaah dari Indonesia juga agensi perlancongan lain dari Malaysia, ada kalangan mereka berihram siap-siap, dan kami akan ke Madinah dahulu. Saya difahamkan pesawat kami bukan charted flight, ia commercial flight, kalau charted khas untuk umrah, akan ada azan, ruang solat, pramugari bertudung lengkap, dan semua penumpang adalah jemaah umrah. Pesawat kami ada juga penumpang biasa. Tidak ada masalah.

7. Selepas 2 jam, kami dihidangkan dengan makanan, pramugari tanya nak ayam sate atau kari ikan, saya pilih ayam sate dimakan dengan nasi. Alhamdulillah sedap juga sate makan dengan nasi kuah kacang. Perjalanan ke Jeddah adalah selama 9 jam. Selepas makan kemudian, 2 jam sebelum tiba di jeddah, sekali lagi dihidangkan makanan, nasi lemak pulak. 

8. Bila hampir tiba, kapten membuat pengumuman memasuki miqat qarnul manazil, supaya jemaah yang ingin menunaikan umrah berniat. Mereka bertahmid, mula menjaga perkara larangan dalam ihram.

9. Alhamdulillah kami tiba di Jeddah jam 7 malam waktu Arab Saudi. Selepas mendarat di Lapangan terbang King Abdul Aziz, Jeddah. Kami perlu menaiki coaster, bas untuk ke bangunan terminal. Ujian pertama kami pemandu coaster tersebut boleh tahan, macam F1 dalam landasan, berpusing jugak penumpang dalamnya. Namun jemaah kelihatan tenang beristighfar.




10. Kami dikhendaki melalui Imigresen di Jeddah, mengecop 5 jari juga mengambil sekeping gambar dengan kamera disediakan. Kami kumpul semua beg tiram dan bergerak berkumpulan menuju ke luar bangunan terminal. Kelihatan juga pemuda Arab sibuk meminta pasport kami katanya untuk pendaftaran simkard percuma, namun Haji mutawif pesan supaya teruskan juga perjalanan elak penipuan. Baru je sampai di Jeddah kena hati-hati, kami solat Jamak Takdim dan menaiki bas ke Madinah yang memakan masa 9 jam lagi.

01 April 2019

:: Perjalanan Umrah Pertamaku (part1)

Bismillahirrahmanirrahim 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur kerana direzekikan Allah untuk menunaikan Ibadah Umrah buat kali pertama dalam hidupku. Lebih istimewa lagi apabila kunjungan ini bersama Ibuku, yang selalu berdoa supaya diberikan kesempatan untuk kesana bersama anaknya.

2. Mutawif sering mengulangi, Ibadah Umrah ini bukan asbab duit, asbab masa, asbab travel agent tetapi sangat istimewa iaitu Allah yang jemput ke sana. Berapa ramai yang berduit, beharta, mempunyai masa lapang yang banyak namun tidak dijemput Allah SWT. Maka wajar sekali disyukuri dan buatlah yang terbaik dalam menuju kesempurnaan beribadah.

3. Kisah perjalanan Umrahku bermula apabila pelawaan dari Bapa Saudara (guru pencen) kepada ibuku, dan terus disahut gembira. Namun berat dihati lagi diingiti doa ibuku untuk mengerjakan Umrah bersama anaknya. Akhirnya ibu menyuarakan kepada saya akan hasrat untuk menunaikan Umrah bersama rombongan bapa saudara dan keluarga.


4. Saya pada mula, agak sahdu, terharu namun masih ingat lagi kata-kata doa ibu untuk kesana bersama anaknya. Lalu saya yakinkan ibu dengan bersetuju untuk membawa ibu disamping keluarga bapa saudara. Alhamdulillah dipermudahkan urusan, berkebetulan Tiram Travel (ada kekosongan 2 atau 3 tempat sahaja lagi), tarikh  (14 Mac - 25 Mac 2019) tiada kuliah, tiada exam. Saya daftarkan bersama ibu dan rombongan di Tiram Kota Bharu dengan RM 500 yuran pada awal Januari 2019. (Pakej saya RM 5690 safwah hotel)

5. Tidak terlintas langsung dalam perancangan saya untuk menunaikan ibadah Umrah pada 2019, memandangkan isteri sedang sarat mengandung anak ke-4 dan juga baru sahaja pulang dari Sabah pada hujung Disember 2018. Inilah dikatakan rezeki, doa ibu amat mustajab, semua adik beradik memberikan sokongan kepada saya dan ibu. Persediaan perlu dilakukan segera. Ibadah perlulah berilmu agar tidak sia-sia perbuatannya. Doa tidak putus-putus sehingga selesai ibadah, pesan ustazku.



6. Memandangkan kursus Umrah hanya diadakan pada hujung minggu, kebetulan pula saya bermusafir pada setiap hujung minggu KL- JENGKA. Kebetulan saya berjumpa rakan Pengajar disini Pn Kasma isteri kepada senior MedRad Abang Madi, yang baru sahaja pulang menunaikan Umrah pada Disember 2018 juga menggunakan perkhidmatan Tiram travel. Beliau memaklumkan di Saujana Utama juga ada pejabat cawangan Tiram travel. 



7. Saya menghubungi pejabat Tiram travel Saujana Utama, Sungai Buloh dan mohon untuk hadir bagi belajar berkursus Umrah di pejabat disana. Alhamdulillah, direzekikan pejabatnya tutup lewat, boleh lah saya ke sana lepas waktu pejabat. Saya tiba di sana pada jam 6.00 petang, dan disambut oleh Haji Faliq dan mertuanya. Di sana saya belajar secara 4 mata, dari awal perjalanan, amalan  disana, bacaan-bacaan serta ditunjukkan semua sehingga akhir, ada tv live Makkah turut membantu saya mendapat gambaran disana. Ada juga lukisan besar Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi, membuatkan saya lagi teruja untuk kesana.

8. Jam hampir 10.00 malam saya mohon undur diri dulu, bersungguh haji bercerita, begitulah semangatnya mereka membantu. Disana juga ada menjual kain ihram, alatan umrah, seperti beg kasut, bekas penyembur air, tali pinggang, sabun dan barangan keperluan lain. One stop center, di bahagian belakang pejabat pula, ada ruangan untuk kursus umrah hujung minggu, praktikal terus, mantap Tiram travel Saujana Utama. Tapi kalau hendak beli barangan kena datang petang sebab anak Haji dah balik, dia yang uruskan (no telefon Haji Faliq : 019-823 2602). Saya panjangkan slide yang diberikan download di sini klik disini

9. Turun dari pejabat, saya terus ke Klinik Siti, berhampiran pejabat Tiram travel, saya mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin untuk umrah, ada pakej 3 jarum, dan saya ambil satu jarum sahaja, RM 150. Sempat juga Dr pada masa itu mengusik saya, cucuk satu jarum pun sakit, isteri bila bersalin lagi sakit, hargailah isteri, Saya hangguk faham sambil tahan sakit suntikan vaksin hidup tersebut. Klinik Siti terima cash juga kad kredit, mudah dan cepat. Saya dibekalkan kad vaksin dan ianya diperlukan semasa memohon Visa umrah nanti. (Visa diuruskan oleh Tiram travel).

10. Pulang ke pejabat saya mengisi borang Cuti Tanpa Rekod (kelayakan bagi penjawat awam 7 hari tidak termasuk hujung minggu) sedang elok, pakej saya 12 hari dan saya ambil 2 hari cuti rehat tahunan untuk urusan selepas pulang, rehat atau bagaimana. Alhamdulillah dipermudahkan urusan, permohonan saya dihantar ke ibu pejabat dan diluluskan dokumen perlu (surat pengesahan dari Tiram travel mesti ada nama, tarikh penerbangan, pergi dan balik, dan no insuran agensi) boleh mitak tiram emailkan, lampirkan sekali semasa memohon.


11. Tidak lupa juga 3 keping gambar Visa, kena maklum kat photographer, cakap visa umrah, ada syarat dia, background kena putih dan pula mesti nampak muka, besar juga muka jadinya, pakaian pula tudung hitam, dan perlu buka spek. Alhamdulillah selesai dan hantar kepada cawangan Tiram Kota Bharu, beserta baki bayaran.




11 September 2015

:: KEPERLUAN PERKHIDMATAN??

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Salam Sihat 1 Malaysia,

1. KEPERLUAN PERKHIDMATAN?? merupakan satu alasan yang tidak mungkin dapat disangkal malah akan menjadi mimpi buruk kepada semua kakitangan. Saya melihat alasan ini sebagai satu FRASA KATA yang amat perit untuk diterima walau dijanjikan habuan elaun tertentu sebagai memadam agenda halus sesuatu Jabatan. Walaupun dipihak yang berkepentingan, akan tetap mempertahankan tindakan alasan ini, saya merasakan tidak adakah sifat kemanusiaan sekurangnya cuba memberi ruang kepada empunya diri untuk menyatakan justifikasi bagi menyangkal alasan tersebut.


2. Di pihak pekerja, saya merasakan jika diamalkan sebegini akan mendatangkan ketidakpuasan hati malah akan menjejaskan prestasi seseorang. Lebih-lebih lagi jika seseorang yang baru sahaja berkhidmat dalam organisasi, baru memulakan hidup bekerluarga, baru memiliki rumah, baru gembira melihat anak di sekolah, terus DITUKARKAN ke tempat baharu tanpa alasan munasabah, hanya kerana KEPERLUAN PERKHIDMATAN. Adakah budaya sebegini telah lama wujud dalam Jabatan?. Jika YA pasti dan pasti saya nampak ianya lebih kepada membunuh Karakter, dibimbangi budaya CANTAS-MENCANTAS akan lebih tersebar memandangkan arahan adalah daripada seseorang individu mahupun sesuatu kumpulan.


3. Dalam konteks KEPERLUAN JABATAN ini, sudah tentu ianya seolah-olah dirancang dengan rapi. Perancangan oleh sekumpulan tangan-tangan ghaib ini mengakibatkan ramai yang terkesan. Ramai jiwa menangis, meronta, sehingga lebih teruk menggugut untuk memilih jalan keluar akibat terlalu kecewa.

4. Saya memohon dan merayu kepada kumpulan tangan-tangan ghaib ini, sebagai pembuat dasar, kita harus berhati besar, berkhidmat bersama-sama, jujur dalam tindakan, ketepikan agenda, bertoleransi, malah memberi ruang dan peluang yang adil kepada semua. Jangan terlalu ghairah, rakus mengejar impian hingga membunuh semangat orang lain, lebih teruk lagi jika sampai memisahkan suami isteri yang tersepit dengan KEPERLUAN PERKHIDMATAN, keluarga haru biru, hubungan tidak menentu sudah tentu menjurus kepada persekitaran yang tidak sihat.


5. Sepatutnya kumpulan pembuat keputusan, melihat kembali punca, adakah berpunca daripada tindakan tergesa-gesa ataupun, tiadakah cara yang terbaik selain MERENTAP JIWA pekerja, dengan alasan KEPERLUAN PERKHIDMATAN semata-mata. Ambillah pengajaran tentang peristiwa terdahulu, jangan sampai dijadikan budaya, sehingga anggota sendiri sudah berasa tidak selamat, prestasi kerja merosot, hubungan keluarga terjejas, hanya jalan terakhir adalah jalan keluar yang sangat perit.


6. Sebagai seorang anggota perkhidmatan awam saya turut terkesan dengan alasan KEPERLUAN PERKHIDMATAN, baru-baru ini melanda kawan saya, namun, saya perlu bersedia aku janji yang dilafazkan memadamkan semua hujah dan justifikasi sehingga ada yang mendakwa SAYA YANG MENURUT PERINTAH. Agak pahit namun itulah perlu ditelan, saya cuba membantu, pasti dan pasti ada caranya, tidak perlu ke jalanan, tidak perlu juga membakar suar di pejabat, tidak perlu memijak mana-mana gambar, tidak perlu juga menubuhkan HARAPAN BARU, apatah lagi budaya paling digemari 'SURAT LAYANG' yang terbang bertebaran. Saya memilih cara perundingan!

7. Bahulah kami PERSATUAN! mohon sedikit ruang perbincangan, adakah dengan sekeping surat arahan, memadam keseluruhan jasa yang dicurahkan, mujur ada kawan, merubah dimensi pemikiran, mengarah kepada sudut pandang yang lebih positif, MUNGKIN REZEKI DI SANA, namun perlu sedikit masa. Fikirlah sahabat, usah mudah menyerah kalah, kita cuba cara, kita ikhtiar, kita berdoa, dan pastinya kita perlu BERSERAH.



"Roda itu berputar, kadang ia bergolek keatas, kadang ia bergolek kebawah"
:: Mimpi ngeri KEPERLUAN PERKHIDMATAN
      

22 April 2015

Tahniah Senior Sinaran Perubatan (Medical Radiation)

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Salam Sihat 1 Malaysia

1. Tanggal 16 April 2015 merupakan tarikh pengumuman rasmi bagi penempatan pegawai yang mendapat kenaikan pangkat Pengajar U44

2. Perkembangan yang positif ini telah membuktikan bahawa graduan Sinaran Perubatan mempunyai kelas yang tersendiri. Apa tidaknya, seramai tiga pegawai yang merupakan lepasan Ijazah Sinaran Perubatan, USM berjaya memperolehi kenaikan tersebut sekaligus.

 3. Mereka terdiri daripada En. Zulfadli bin Abdul Majid (graduan tahun 2006) Pn. Seri Munirah binti Salleh (graduan tahun 2006), dan En. Aizuddin bin Zakaria (graduan tahun 2007).

4. Secara tidak langsung, saya secara peribadi berpandangan bahawa berdasarkan pencapaian luar biasa ini dapat, menangkis tuduhan liar presepsi mengenai kursus Sinaran Perubatan. Lebih-lebih lagi apabila didakwa segolongan pihak bahawa graduan Sinaran, tidak dapat berfungsi dalam program Radiologi dan Radioterapi, Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia.

5. Namun begitu, mereka bertiga telah membuktikan kerelewanan mereka di dalam sistem ILKKM sepatutnya disegani kagi dihormati. Sudah tentu kelebihan mereka diiktiraf tanpa perlu ragu-ragu lagi. Berkat kesabaran dan doa merealisasikan permulaan positif ini tanpa perlu menghiraukan kepada mana-mana pihak yang sering memandang serong tentang orang lain.

6. Pada hari ini, saya merasa bersyukur dan bangga kerana mereka telah membuktikan walaupun pelbagai tohmahan dibuat, mereka mampu mengatasinya. Betul pepatah melayu menyebut, walau menyelusuri akar, bisa ular mana mungkin hilang.

"Selamat maju jaya SENIOR"
:: Genggam bara api biar sampai jadi arang"

17 September 2014

:: Selamat Datang UiTM Cawangan Sungai Buloh

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,




1. Tarikh 16 September 2014 (Selasa) merupakan satu lagi tarikh bersejarah dalam hidup saya. Alhamdulillah dikurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka, bermula lembaran baru perjalanan hidup di perantauan. Menjadi seorang Pelajar Ph.D saya yakin dan percaya tidak semudah dan penuh dengan jadual perlu direncanakan sebaik mungkin. Isteri saya mendaftar di UiTM Kampus Perubatan, Sungai Buloh. Kami sekeluarga menginap di Kolej Kediaman 2, di dalam kampus.

2. Suasana ini sekali lagi mengenang suasana lama semasa belajar di USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, tempoh hari. Di USM selama 5 tahun cukup mendewasakan saya. Saya terbayangkan abang penghantar surat khabar yang selepas Subuh setiap hari datang dan meletakkan akhbar di semua Desasiswa. Sayalah orang pertama yang akan membelek surat khabar sambil teh tarik di tangan. Basikal saya sering menjadi tunggangan di dalam kawasan kampus. Ke Surau, ke Kuliah, ke Pejabat hatta ke Pasar Malam saya hanya mengayuh basikal.

3. Setelah sehari di UiTM Kampus Perubatan, membuatkan saya mula berasa rindu suasana di USM, terkenang ramai abg senior berjalan ke kuliah dengan ber'LAB COAT' dengan TENDON HAMMER disangkut disisi, kakak-kakak senior berkumpulan sesana kesini, pelbagai bangsa dan budaya. Ada juga menggendong botol air bersaiz besar luar biasa ke kuliah.

4. Di sini, UiTM kampus Perubatan, Sungai Buloh, ada banyak kelebihan, oleh kerana asrama POST GRADUATE dan UNDER GRADUATE tidak diasingkan agak janggal buat kali pertamanya. Mungkin juga bilik untuk bekeluarga agak terhad. Namun saya sudah biasa dengan suasana bilik yang compact dan saya cuba menyesuaikannya. Tidak lama hanya 3 tahun di sini, In Sha Allah.

5. Berpagi-pagi surau disini berkumandang Azan Subuh, seala-ala Desa Nurani. Kafe dibina di aras lantai tidak perlu ke bangunan lain lagi. Agak baik, namun masih baru, tiada banyak pilihan jika dibanding dengan kafe Murni, mahupun Nurani apa lagi HARMONY. 

6. Saya juga masih berjinak jinak dengan kemudahan wifi di sini, kalau dahulu PPKT adalah pusat informasi saya, malahan bilik saya akan selalu menjadi rujukan bila Internet tiada atau rosak. Disini menggunakan CISCO, harap indah khabar dari rupa.

"UiTM di Hatiku"
:: UiTM Sungai Buloh, Kampus Perubatan, MY HOME  

06 June 2014

:: Memartabatkan Profesion PENGAJAR, KKM

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia

1. PENGAJAR merupakan salah satu Profesion yang amat mencabar. Penglibatan dalam bidang akademik memberi dimensi baru kepada perjalanan hidup saya. Hampir 4 tahun bergelar Pengajar di sebuah Kolej yang terlama di kalangan Kolej-kolej di bawah Bahagian Pengurusan Latihan, Kementerian Kesihatan Malaysia, saya akui masih belum cukup memberi gambaran keseluruhan mengenai Profesion ini.

2. Mengenang masa temuduga jawatan ini di Kota Bharu, Kelantan. Membuat permohonan pada Semester akhir Sarjana saya melalui SPA. Alhamdulillah dipanggil temuduga di pusat temuduga SPA. Berbekalkan semangat dan pengalaman yang dipunyai sesi temuduga telah berjaya dan telah dilantik dengan penempatan di Sungai Buloh, Selangor.

3. Saya akui pengalaman dalam penglibatan segala aktiviti semasa bergelar Mahasiswa telah banyak membantu saya dalam kerjaya sebagai PENGAJAR. Menyertai Pembantu Pelajar Minggu Suai Kenal, (PPMS) mirip program Orientasi Pelatih, KKM. Program BTN pula banyak membantu saya mengendalikan Program Transformasi Minda, (dulunya Induksi penjawat awam). Belajar berorganinsasi semasa MPP pula memberi keyakinan yang kuat untuk mengetuai banyak Jawatan Kuasa Kolej ini. Alhamdulillah. Tidak dinafikan juga semangat kepimpinan ini sebenarnya didorong oleh Arwah Ayah (Muhamad Rusli Bin Jusoh).

4. Mengulas mengenai Profesion PENGAJAR ini bagi saya yang baru 4 tahun, saya akui agak tidak adil, namun saya berpendapat Profesion ini amat mencabar dan mampu berkembang dengan baik sekali. Bertugas sebagai tenaga akademik sudah tentu tugas hakiki seperti menyampaikan kuliah, mengendalikan tutorial, mahupun beramali. 

5. PENGAJAR sedikit berbeza dengan PENSYARAH, mirip pula para GURU. Ekslusifnya PENGAJAR adalah gabung jalin tenaga yang sangat berpengalaman dan yang muda. Saya juga melihat tren pengambilan PENGAJAR baru dari kalangan orang muda amat memuaskan. Tambahan pula kebanyakan PENGAJAR baru sudah mempunyai SARJANA. Ada juga dalam kalangan mereka sedang menyambung pengajian ke peringkat Ph.D.

6. Dari segi kenaikan pangkat, ada sinar di hujung jalan. Ini kerana peringkat tertinggi seorang PENGAJAR dalam hiraerki Penjawat Awam adalah sehingga U54. Menjadi Ketua Program, seterusnya Timbalan Pengarah serta Pengarah memerlukan pengalaman yang pelbagai. Aspek kepimpinan dan organisasi sepatutnya berada dalam kelas yang tersendiri. Kekredibiliti seorang PENGAJAR dapat dilihat dalam penganjuran pelbagai program, baik di peringkat Disiplin, Kolej, Zon mahupun Kebangsaan.

7. Saya berpengalaman menyertai pelbagai peringkat penganjuran program di sini. Jujur saya melihat aspek DISIPLIN atau BIDANG KEMAHIRAN masih menebal. Tembok agak tebal namun tidak mustahil dirobohkan. Ini kerana PENGAJAR terdiri daripada disiplin yang pelbagai. Tentunya DOMINANNYA Jururawat, Pengkhususan (Pos Basik), Pembantu Perubatan (MA), Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (IK atau PPKP), Jurupulih anggota, Jurupulih carakerja, Juru X-Ray, Pembantu farmasi, Juruteknologi Makmal Perubatan, juga Pembantu Kesihatan Awam. Bergabung pelbagai disiplin menuntut banyak pengorbanan serta pemahaman dalam setiap keputusan. 

8. Buang semua hasad dengki, demi Profesion. Atas maksud itu, kita raikan Sambutan Hari PENGAJAR. KSKB Sungai Buloh membuat langkah tepat. Ditubuhkan Jawatan kuasa secara sukarela. Saya salah seorangnya. Kami berusaha menjayakannya. Merancang aktiviti demi PROFESION PENGAJAR. Selamat maju jaya para PENGAJAR. Bertemakan REJUVENATION OF ACADEMIA CULTURE. Kita raikan, PROFESION kita.



"Kecemerlangan PENGAJAR kebanggaan kami"
:: Sibuk dengan raptai dan persediaan 

21 December 2011

:: Kisah MAHASISWA universiti

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia

Pengalaman memang tidak dapat dibeli dan amat beharga. Selaku bekas Pemimpin MAHASISWA Universiti Sains Malaysia (MPP USM 07/08) sudikan untuk saya untuk berkongsi satu cerita yang saya karang berdasarkan 5 tahun saya di USM kampus kesihatan Kubang Kerian Kelantan.

Saya ada kawan nama dia ADAM (bukan nama sebenar). ADAM pada hari orientasinya di hantar oleh ibu dan bapa serta keluarga ke Universiti melapor diri dengan penuh semangat. Membawa filem x-ray miliknya, beratur memakai tai walau hujan panas tidak pernah di hirau. Keluarga ADAM sangat sederhana. Dia mengisi borang PTPTN, berkejaran fotostat kesana-kemari, sibuk meminta pegawai Universiti untuk membuat pengesahan sijil-sijil beliau. Dengan harapan memohon pembiayaan PTPTN untuk saraan hidup sepanjang di Universiti. Selepas menyesuaikan diri dengan keadaan Universiti ADAM telah mempunyai ramai rakan. Bukan sahaja dikalangan pelajar tahun satu namun termasuk abang-abang dan kakak-kakak senior. Dia juga gemar menjadi sukarela untuk mana-mana program anjuran pihak Universiti. Sebaik sahaja Azan dilaungkan Alhamdulillah ADAM masih lagi diberikan kekuatan untuk berjemaah di Surau Universiti.

Seperti biasa setiap tahun Universiti akan mengadakan pemilihan pemimpin MAHASISWA. Pada saat ketika itu, ADAM dan rakan-rakan yang lain mula diasingkan berdasarkan banyak perkara yang pada mulanya ADAM tidak pun menyedari kategori-kategori pengasingan yang dibuat oleh SENIORnya. ADAM mula rasa tidak selesa. Lalu ADAM yang terkenal dengan sikap berani dia mula berfikir untuk memasuki kumpulan yang dirasakan ADAM pada pihak yang BENAR. ADAM makin ragu. Seperti biasa solat jemaah tidak ADAM tinggal di Surau Universiti. Semasa hendak ADAM melangkah keluar dari surau ada Senior yang membahagikan risalah yang tidak pernah ADAM baca di tangga surau. Ada juga ditinggalkan dipintu masuk surau. Risalah tidak lain tidak bukan hanya untuk memecah belahkan jemaah mahasiswa. Banyak salah dari betul. ADAM tidak mudah tertipu dengan risalah-risalah begitu, fikirnya.

Di tahun kedua ADAM di Universiti, ADAM mula mengalami masalah dalam pelajaran, mungkin kerana sedikit selesa kerana duit PTPTN yang dapat masih banyak lagi baki. Alasan ADAM yang lain dia tidak masih lagi biasa dengan cara peperiksaan Universiti. Seperti biasa tahun kedua, pemilihan raya kampus dijalankan lagi, dengan tujuan mendapat pelapis pemimpin MAHASISWA. Menjelang musim pilihan raya, makin banyak lagi dugaan terhadap ADAM. Masakan tidak dulu dia dijemput untuk duduk dengar sahaja dalam satu kem kepimpinan, kini di tahun kedua dia diberikan tugasan. Hebat tugasan diberikan kepadanya, kerana apa? kerana ADAM seorang yang beketerampilan antara rakan-rakan yang lain. Mampu bercakap di khalayak. Gemar menjadi Pengerusi Majlis. Hebatkan ADAM. ADAM semakin disanjung rakan, dan disegani di Universiti. Walaupun masih di tahun ke dua pengajian. Masih lagi ada 2 tahun untuk mengemgam Ijazah. ADAM dijemput oleh rakan Universiti yang lain untuk memberi ceramah. Boleh dikatakan cuti semester ADAM tidak pulang ke kampung kerana jemputan di seluruh Universiti untuk memberi ceramah. Skrip sudah ada cuma semangat dan kelantangan ADAM diperlukan. Tanpa pedulikan sumber skrip itu, benar atau salah, halal atau haram, fitnah atau tidak, ADAM tidak hirau kerana teriakkan dan laungan semangat para hadirin membakar semangatnya.

Di tahun ketiga, ADAM mendapati keputusan peperiksaannya makin menurun. Fokus terhadap kuliah makin hilang. Matlamat dan pesanan serta niat nampak makin terpesong jauh. ADAM mulanya berfikir untuk kembali menumpukan pembelajarannya, namun dia tidak dapat kerana pilihan ADAM sendiri. ADAM mula menggemari aktiviti luar kuliah. Hujung minggu ADAM tiada di kampus. ADAM sibuk berprogram. Kadang-kadang ADAM diuji dengan tugasan duniawi sehingga ADAM tidak lagi datang berjemaah di Surau. Rakan-rakan yang tidak sebaju dengannya tidak dipeduli. Lebih buruk tidak bertegur sapa kerana rakannya menegur sesuatu yang menyentuh prinsip perjuangannya. AKIBATNYA ADAM gagal dalam peperiksaan. PTPTN ditarik disebabkan keputusan yang amat teruk. ADAM di khendaki mengulang subjek atau EXTEND pengajian. Tidak sesekali ADAM rasa menyesal dek kerana semangat perjuangan melebihi segalanya.

Akhir tahun pengajian, rakan-rakan ADAM meraikan kejayaan memperolehi Ijazah. Ibu bapa mereka menangis kegembiraan dan kesyukuran. Adik beradik mereka jadikan kakak-kakak dan abang-abangnya yang berjaya itu sebagai batu loncatan atau benchmark. Ada yang menyambung pengajian ke Sarjana ada juga berusaha melengkapkan kemahiran insaniah untuk meningkatkan harga diri dan kecekapan. Kawan-kawan ADAM yang dapat tajaan JPA, Alhamdulillah telah berjaya diambil menjadi penjawat AWAM. Lebih manis ADAM melihat senior yang mula-mula mengajak ADAM menyertai kem kepimpinan dahulu telah tamat PHD. Maka ADAM tertinggal seorang di belakang senior-seniornya dan rakan sebatchnya yang lain. Tetap mahu terus berjuang ikrarnya. Begitulah hebatnya ADAM rakan MAHASISWA saya.

"Peranan rakan amat HEBAT"
:: Mahu cerita kisah AH CHAI pula lepas ni

07 October 2011

:: Akta Kediaman Terhad 1933

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia
.
Baru-baru ini (05/10/2011) YAB Perdana Menteri telah membawa usul untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 di Dewan Rakyat. Ini bermakna dengan termansuhnya akta ini ia akan membebaskan semua 125 individu yang ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad dan juga membatalkan lebih 200 waran yang belum disampaikan, berkuat kuasa serta merta.
.
Seperti biasa apabila guruh dilangit berdentum, maka akan ada refleksnya. Semasa masa makan tengah hari saya sempat berbual-bual dengan rakan-rakan pengajar di Kolej ini. Tanpa rasa bertanggung jawap mereka mendakwa perbuatan ini SILAP. Mungkin boleh mengancam KESELAMATAN negara. Apakan tidak, penjenayah dibebaskan. Nampak logik juga pada awalnya. Namun setelah saya membaca penerangan yang diberikan oleh YAB PM tujuan dan kenapa akta ini dimansuhkan barulah saya sedikit faham mengapa ianya tidak relewan lagi boleh baca di sini (http://www.hmetro.com.my/articles/AktaKediamanTerhaddimansuhkeranasudahlapuk_Najib/Article)
.
Nasihat saya jangan mudah MENGHUKUM jika tiada ilmu. Jika tidak suka semua nampak buruk, jika suka semua jadi harum. Selidik dahulu kenapa, tak salah bertanya jika tidak tahu. Cukup mengecewakan, jika sebegini pemikiran para penyarah/pengajar/ilmuan/barisan depan/ikon masyarakat bagaimana pula anak didiknya. Berfikir sebelum bercakap.
.
"Ilmu pelita hidup"
:: Berkata-kata itu mudah



06 October 2011

:: Link kepada Facebook

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam sejahtera
.
Mencuba yang baru iaitu dengan menghubungkan blog dengan facebook.
.
"Mencuba yang baru"
::Meneroka teknologi

:: Tahap stress di KSKB?

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam 1Malaysia
.
Solatlah Dhuha kerana dalamnya tersembunyi pintu-pintu rezeki. Selesai solat Dhuha maka rutin harian saya membelek akhbar di Pejabat Pengurusan.Lalu terbaca saya akan artikel yang dipaparkan dalam Utusan Malaysia hari Ini (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm).
.
Menyentuh soal tahap stress pelajar di Malaysia. Amat tinggi!dan membimbangkan. Lantas saya mengajukan soal selidik saya kepada pelatih saya di sini. Demi menyahut seruan ayahnda Pengarah yang selalu menitik berat soal pembangunan atitud pelatih. Sebelum memulakan kuliah saya membaca pemikiran pelatih, mahu melihat respon mereka, lalu saya lantunkan bola pertanyaan mengenai stress mereka di KSKB Sg. Buloh. Bingkas mereka memberi jawapan. STRESS!!!!
.
Aduh, benarkah stress wahai pelatih sekalian. Sebaliknya saya merasakan anda semua paling beruntung jika hendak dibandingkan dengan pelajar Diploma lain di luar sana. Banyak kelebihan dan manfaat anda perolehi di sini. Apa tidak, tiap-tiap bulan sama dengan penjawat awam lain anda akan diberi GAJI (RM 600) seorang. Tidak cukup dengan itu, baju uniform dari kasut hingga ke tudung juga diberikan kepada anda semua. APA NAK DISTRESSKAN!!
.
Di sini pelatih di khendaki menjalani latihan dalam bentuk teori dan amali, teori disampaikan dalam bentuk kuliah dan amali di lapangan baik di klinikal atau pusat-pusat kesihatan. Sama seperti pusat latihan lain, di sini pelatih dikhendaki menghadiri kuliah dari jam 8 pagi sehingga 5 petang. Siap beruniform. Maka bolehlah nampak gerombolan pelatih berjalan kaki dari asrama hingga ke kelas dengan pakaian uniform masing-masing. Namun ada juga yang berkemampuan dengan menaiki kenderaan seperti motorsikal dan kereta. Saya bertanyakan mereka kenapa tidak naik basikal, jawap mereka bukit tension jadi alasan.
.
Di asrama pelatih mereka ditempatkan berdua, maksudnya berpasangan. Lelaki ada 3 blok dan perempuan ada 5 blok. Berkeliaranlah mereka di kawasan asrama, seronok meneguk air dalam plastik beg lalu ditinggalkan begitu sahaja, pinggan makanan tidak berkemas, berseleraklah ia di atas meja di kafeteria asrama. TANPA rasa bersalah dan tanggung jawab. Ikutkan makcik kafe lagi stress. Dekat asrama pun boleh pilih room
ate. Ada pengumuman dari penyelia asrama, borang untuk memohon roomate telah dibuka (kini masih dibuka). Boleh pilih roomate. STRESS ker??
.
Di asrama pelatih juga ada disediakan kemudahan rekreasi seperti court futsal dan padang bola sepak serta gelanggang bola tampar serta tenis. Namun tidak digunakan, apa alasan tidak tahu? Seperti biasa Surau KSKB kembali suram selepas Ramadhan. Nampaknya madrasah Ramadhan tidak berjaya melahirkan graduan Ramadhan yang Istiqamah. Mungkin ada alasannya tersendiri oleh para pelatih. Percayalah jika anda semua dekat dengan Allah, taat perintahnya, ikut cara Nabi SAW. Pasti tidak akan wujud perasaan stress tersebut. Fahamilah erti hidup sebenarnya. Hakikat kita di dunia.
.
Oleh itu, saya yakin dan percaya, STRESS di KSKB yang saya uji bagi pelatih saya hari ini sangat kecil peratusnya. Saya tidak STRESS!!!
.
"Buru faktor stress"
:: Tangani stress dengan AGAMA

:: Kembali Menulis

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamulaikum dan Salam 1Malaysia
.
Rindu pada penulisan blog. Selama hampir setahun sudah saya tidak mengupdate blog saya. Akui banyak kekangan dan kesempitan masa untuk saya menulis. Banyak perubahan yang telah berlaku dalam lipatan hidup saya. Alhamdulillah semuanya berhikmah cuma perlu sedikit pemikiran dalam setiap yang berlaku.
.
Sedar tidak sedar sudah hampir setengah tahun saya menjadi SUAMI kepada isteri saya Nur-Hasanah Binti Ruslan. Tanggung jawab yang dipikul amat istimewa.
.
Sungguh unik dan seronok untuk diperkongsikan. Benar sekali dalam Sunnah ada kejayaan. Ketenangan yang wujud ini mohon agar terus berkekalan sehingga ke akhir hayat.Amin. Walaupun saya dan isteri dipisahkan selaut China Selatan (Sg.Buloh-Sarawak) namun langsung tidak pernah kurang sedikit pun rasa rindu rasa dekat di hati.
.
Suasana pekerjaan di KSKB dilihat makin selesa. Jaringan yang dibina cukup kuat, semacam adik beradik antara saya dan semua staf, baik Ibu-ibu Radicare sehingga ayahda Pengarah Kolej. Terima kasih kepada semua, tentu banyak lagi sepatutnya saya belajar dari semua.
.
Pengalaman mengembara dari KLIA-Kuching dan LCCT-Kuching langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.
Kini saya tempuhi. Sehingga bercita-cita mahu menjadi kabin crew juga. Kagum dengan Pilot yang memberi salam "Assalamualaikum" semasa pengumuman sebelum menerbangkan pesawat.Rasa selamat kerana beliau membawa pesawat kerana beliau pasti membaca Bismillah.
.
Anak-anak pelatih baru sahaja selesai menduduki peperiksaan pertengahan semester. Minggu minggu depan akan saya cuba selesaikan proses penandaan kertas jawapan mereka. Jangan dibimbang selagi cuba sebaik mungkin pasti akan berjaya.
.
"Rindu pada pena"
:: Menulis itu mulia

16 August 2010

:: Alhamdulillah 4 Ogos 2010

Bismillahirrahmanirrahim
.
Assalamualaikum dan salam 1Malaysia
.
Salam Ramadhan Al-Mubarak
.
Tanggal 4hb Ogos 2010 sekali lagi memberi dimensi baru bagi saya kerna berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Sains Sinaran kelulusan daripada Universiti tersohor tanah air Universiti Sains Malaysia (Apex University). Alhamdulillah semuanya selamat berlangsung di DTSP USM Pulau Pinang. Sesi yang diadakan adalah sesi 2 iaitu sebelah petang. Sebagai menghargai sokongan daripada kedua ibu bapa saya, saya menghadiahkan 2 tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Sudah lama saya menunggu untuk saat ini. Kelihatan terpancar kegembiraan di wajah ma yang tidak pernah terfikir untuk menaiki Kapal terbang kerana kami orang kampung, orang susah dan ditambah pula ma saya seorang suri rumah sepenuh masa. 24 jam berada di rumah, membesarkan kami semua dan mensejahterakan keluarga, memberi khidmat kepada suaminya iaitu ayah saya sehingga ke hari ini. Namun hari ini ma saya sudah mampu merasai sedikit pengalaman yang baru dalam sisa hidupnya. Alhamdulillah gaji pertama saya dapat juga saya menggembirakannya.
.
Lawatan kedua ibu bapa saya ke Kuala Lumpur tempoh hari juga amat padat, di sebelah paginya kami 3 beranak berpeluang menaiki LRT dan komuter KTM salah satu aktiviti santai meninjau keindahan kota metropolitan. Tidak ketinggalan kami singgah di Batu Caves, tempat saya ingin membeli sebuah kereta bagi kegunaan peribadi saya. Setelah berpuas hati kami mencuba kereta sedan jenis Hyundai Accent 1.5 (A) tahun 2005 dan bersedia untuk membelinya.
.
Kebetulan 4hb juga bank menelefon mengatakan pinjaman sudah diluluskan dan pihak kedai menyuruh saya mengambil kereta tersebut. Sungguh tidak sangka. Dipermudahkan urusan kami sesempurna itu. Alhamdulillah tuhan maha kuasa.
.
Kini saya kembali ke KSKB dengan satu semangat baru, bekalan ilmu di dada jika tidak diamal tidak ada gunanya. Dengan harapan ingin berkongsi ilmu bersama para pelajar, saya berharap saya mampu melaksanakannya. Tahun ini saya menyambut Ramadhan di Selangor, juga banyak memberi saya pelbagai ilmu baru. Alhamdulillah di tempat kediaman saya jemaah juga hidup. Saya diberi kesempatan untuk menimba lebih banyak ilmu.
.
Pada hari ini, saya bersyukur sangat-sangat dengan segala rezeki yang telah Allah berikan. Benar janjinya dalam surah Al-Talaaq ayat 2-3 bermaksud "Barang siapa berTAQWA kepada Allah, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluanya. Sesungguhnya allah melaksanakan urusan (yang dikhendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
.
"Berusaha mencapai kesempurnaan iman"
:: Alhamdulillah aku sujud syukur